Kerajaan Sokong Usaha Membudayakan Al-Quran
PUTRAJAYA – Kerajaan memberi sepenuh sokongan terhadap segala usaha membudayakan Al-Quran termasuk penganjuran tilawah bagi melahirkan ummah yang berupaya mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan pada setiap tahun tidak terlepas menganjurkan pertandingan tilawah Al Quran bermula dari peringkat daerah sehingga antarabangsa, bertujuan memartabatkan syiar Islam di negara ini.
“Sebab itu pada peringkat Parlimen Putrajaya, kita melaksanakan Program Tahsin Iqra Sekolah-Sekolah Menengah sejak 2014 termasuk Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Putrajaya yang diadakan hari ini.
“Ini semua dilaksanakan dengan harapan untuk melahirkan generasi muda yang celik Al-Quran,” katanya ketika berucap menutup Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Zon Putrajaya kali ketiga, di Masjid Putra di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Pamuzi Yahya.
Tengku Adnan berkata dalam mendepani cabaran alaf baharu, umat Islam negara ini perlu menguasai ilmu bagi melahirkan insan cemerlang, sekali gus dapat
memperbanyakkan generasi Ulul-Albab atau cendekiawan dalam segala disiplin ilmu
termasuk ilmu agama.
Oleh itu, katanya peluang sedia ada harus digunakan sebaik mungkin supaya bijak memanfaatkan teknologi khususnya menerusi kewujudan aplikasi Al-Quran digital supaya ia boleh dibaca di mana sahaja.
Pada majlis itu, Zainuddin Abd Rahman, 46, dan Zaharah Ahmad, 55, muncul
johan qari dan qariah, dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 serta sijil.
9
You must be logged in to post a comment.