Berita

Teruskan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat; Deklarasi Rakyat Ditolak

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengutuk tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin UMNO yang telah bersama-sama dalam kempen anti-Najib atas nama Deklarasi Rakyat.

Katanya, sifat mereka yang sanggup bekerjasama dengan pihak pembangkang dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah amat memalukan apatah lagi pelantikan tersebut dibuat atas nama demokrasi sedangkan Perdana Menteri dipilih melalui proses pilihan raya yang dibuat secara telus dan adil.

“Tindakan sedemikian tidak sewajarnya berlaku apatah lagi diketuai oleh individu yang bergelar negarawan, pernah menjadi ketua negara, memegang tampuk pentadbiran dalam tempoh yang panjang dan memahami selok-belok politik serta kepimpinan.

“Apa yang pasti, tindakan tersebut amat buruk dan tentu kesannya bukan sahaja kepada nilai kepimpinan negara tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara di peringkat antarabangsa. Dengan tingkah tersebut maka tentunya nama Malaysia turut tercalar dan negara kita dipandang rendah,” ujarnya dalam kenyataan media.

Tegasnya, dalam keadaan kerajaan berusaha meneruskan agenda untuk membawa kejayaan kepada negara dan merealitikan Wawasan 2020 yang dirintis Tun Dr Mahathir, malangnya beliau sendiri telah sanggup bersekongkol dengan mereka yang selama ini mahu menumbangkan kerajaan dan berada dalam barisan pembangkang.

“Lebih dari itu, tindakan Tun Dr Mahathir yang sanggup senada dengan pemimpin DAP, PKR, AMANAH dan NGO lain yang selama ini memberi pelbagai label negatif kepada beliau juga adalah sesuatu yang memeranjatkan. Bukankah mereka ini yang telah melempar pelbagai hinaan dan cacian kepada Tun Dr Mahathir sebelum ini?”

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama bermuhasabah dengan membuat penilaian dan melihat bagaimana liciknya permainan politik yang telah menukar kawan menjadi lawan serta sebaliknya demi untuk agenda tertentu.

“Semoga kita dihindarkan dari tindakan keji sedemikian dan terus dipelihara dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul.

“Atas nama UMNO, marilah kita teruskan tekad untuk agenda Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya – MediaUMNO