Berita

UMNO Perlu Jadi Parti Inklusif Untuk Memenangi Hati Rakyat – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata UMNO perlu menjadi sebuah parti yang inklusif untuk memenangi hati rakyat.

Beliau meminta anggota parti di peringkat akar umbi supaya tidak membuat program ‘syok sendiri’ malah sepatutnya turun padang untuk bertemu masyarakat cdan bertanyakan keadaan.

“Barulah masyarakat sayang pada parti kita,” katanya ketika merasmikan persidangan tahunan pergerakan Wanita UMNO cawangan-cawangan dalam Bahagian Batu, di sini.

Beliau juga mahukan para perwakilan diberikan pendedahan dan maklumat yang betul agar mereka tidak menyampaikan maklumat yang salah kepada masyarakat.

“Sekarang ini adalah zaman fitnah. Apa salah perdana menteri kita dalam mentadbir negara ini. Tidak ada seorang perdana menteri yang mahu mengakui kesilapan-kesilapan sebuah kerajaan. Tetapi perdana menteri kita mengaku.

“Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna, bukanlah sebuah parti yang sempurna. Tetapi kita sanggup untuk berubah menjadi lebih baik demi negara kita,” katanya, yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan juga meminta para perwakilan berhati-hati dengan peperangan persepsi yang memberikan persepsi negatif terhadap UMNO, kerajaan dan presiden UMNO.