Berita

Karnival Roda Mania 1.0 Putrajaya Cipta Rekod Himpunan Motosikal Terbanyak

PUTRAJAYA, 16 April – Karnival RODA MANIA 1.0 mencatat sejarah apabila mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai himpunan motosikal terbanyak.

Sebanyak 29,500 motosikal membabitkan lebih 200 kelab motosikal seluruh negara berjaya dihimpunkan dalam acara yang berlangsung di tapak meletak kenderaan Kompleks Pusat Sukan Air di Presint 6 di sini.

Karnival selama dua hari yang bermula hari ini, anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Perpaduan Ummah itu disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Penyerahan rekod pencapaian itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Datuk Michael Tio itu kepada Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan pada majlis berkenaan disaksikan oleh Tengku Adnan.

Terdahulu, dalam ucapannya Tengku Adnan berkata karnival itu dianjurkan dengan tujuan untuk memupuk sifat-sifat positif dalam kalangan belia selain membendung mereka terlibat dalam lumba haram dan gejala sosial.

Beliau berkata penganjuran karnival itu juga diharap dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap penunggang motosikal yang sering kali dianggap sebagai ‘mat rempit’ atau pelesit jalanan.

“Saya juga sedia berbincang dengan Perbadanan Putrajaya, polis dan Kementerian Pengangkutan bagi membenarkan anak-anak muda menggunakan tapak ini sebagai lokasi untuk mereka melakukan aktiviti permotoran termasuk sebagai litar perlumbaan,” katanya.

Tengku Adnan berkata karnival itu juga dirangka bagi memberi impak positif dalam membentuk nilai-nilai murni di kalangan remaja melalui pelaksanaan acara keagamaan seperti program ‘dakwah jalanan’ serta mini forum perdana yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).

Selain mencipta sejarah sebagai himpunan motosikal terbanyak, karnival itu juga menyasarkan untuk mencipta rekod sebagai Perhimpunan Kereta Nasional Terbesar dan Perhimpunan Trak Makanan Terbesar dengan anggaran 30,000 kenderaan dan 200 buah van makanan.

IMG-20160416-WA0046

IMG-20160416-WA0047

IMG-20160416-WA0051

IMG-20160416-WA0052

IMG-20160416-WA0054

IMG-20160416-WA0056

IMG-20160416-WA0057

IMG-20160416-WA0058

IMG-20160416-WA0062

IMG-20160416-WA0064

IMG-20160416-WA0065

IMG-20160416-WA0070

IMG-20160416-WA0074

IMG-20160416-WA0077

IMG-20160416-WA0078

IMG-20160416-WA0079