Berita

UMNO Putrajaya Sertai Ribuan Umat Islam Program Doa Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR – Warga Putrajaya termasuklah Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyertai ribuan umat Islam yang membanjiri Dataran Merdeka pada majlis ‘Doa untuk Malaysia’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016.

Hadir sama pada majlis yang memasuki tahun ketiga itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program yang merupakan pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 dimulakan dengan solat Isyak berjemaah disusuli solat hajat yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Ia diikuti bacaan doa memohon pengukuhan perpaduan antara kaum serta dijauhkan dari sebarang anasir negatif oleh Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Tuan Asmawi Tuan Umar.

Pengisian doa itu termasuk memohon agar negara dijauhi fitnah dan pelampau Daesh yang boleh memecahbelahkan perpaduan serta politik negara.

Turut menjadi tumpuan jemaah ialah selawat qasidah dan tawsiah yang dipimpin dua pendakwah terkenal dari Indonesia iaitu Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan Habib Ali Zaenal Abidin diiringi kumpulan nasyid tempatan Al-Mawlid.

Keadaan cuaca yang amat baik sejak awal pagi tadi menjadi faktor kelancaran majlis dengan kehadiran puluhan ribu umat Islam bagi mengimarahkan majlis tersebut.

Rata-rata hadirin khusyuk berselawat qasidah dan tawsiah sambil mengibarkan Jalur Gemilang tanda cintakan tanah air.

13925895_1079813295387285_1430923141714679701_o

IMG-20160814-WA0019

IMG-20160814-WA0018

IMG-20160814-WA0020

IMG-20160814-WA0021