Berita

Gelanggang Futsal Secara Percuma Di Wilayah Persekutuan – Tengku Adnan

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menyediakan gelanggang futsal secara percuma bermula hari ini kepada penduduk di ibu negara, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan hari ini berkata kementeriannya akan menanggung semua kos penyelenggaran dan operasi gelanggang futsal bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kemudahan tersebut.

“Kemudahan percuma ini melibatkan gelanggang futsal di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan sahaja,” katanya.

Menurutnya, kemudahan percuma itu disediakan di 22 gelanggang futsal sekitar ibu negara dan dua gelanggang di Labuan bermula 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Sementara itu, dua unit gelanggang futsal Mokhtar Dahari di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya pula boleh diguna secara percuma bermula 4 petang hingga 7 malam bermula Isnin hingga Khamis.

Tengku Adnan berkata langkah kerajaan memberikan kemudahan percuma bagi penggunaan gelanggang futsal itu berikutan permintaan tinggi dari penduduk di Wilayah Persekutuan.