Berita

Kempen MYSaveFood @Ramadan Galakkan Berjimat

PUTRAJAYA – Bulan Ramadan perlu dijadikan bulan untuk umat Islam berjimat cermat sebagaimana dengan matlamat kempen MYSaveFood @Ramadan di sini.

Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Melalui kempen itu, beberapa tips mengelakkan pembaziran makanan turut disampaikan, sementara peniaga diminta menyediakan makanan berkualiti.

Kempen tersebut turut menggalakkan peniaga untuk menyumbangkan makanan yang tidak habis dijual kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kempen itu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Makanan tersebut akan disalurkan kepada rumah anak yatim dan keluarga yang memerlukan di kawasan berdekatan seperti Dengkil, Perdana Putra dan Puchong.

Tengku Adnan berkata setiap hari kira-kira 3,000 tan metrik sampah dikutip di Wilayah Persekutuan dengan 80 peratus daripadanya adalah makanan.

“Separuh daripada makanan yang dikutip itu masih boleh dimakan.

“Itu berdasarkan statistik di bulan lain, bulan puasa kita belum buat analisis lagi. Ini satu pembaziran yang amat ketara,” katanya.

Kempen MYSaveFood @Ramadan pertama kali diadakan dengan kerjasama Mardi, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), Perbadanan Putrajaya serta beberapa NGO.

IMG-20170531-WA0026

IMG-20170531-WA0030

IMG-20170531-WA0027