Berita

KWP Sedia Program Khas Latih OKU

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memberi latihan kepada 1,300 individu kelainan upaya  atau OKU bagi menjadikan mereka lebih berdikari dan boleh membantu diri sendiri menjana rezeki.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata program khas yang dilaksanakan  sebelum temasya Sukan SEA yang lalu itu berlangsung selama dua bulan di sebuah pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berdekatan ibu negara.

“Untuk program ini, kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam mendidik serta melatih mereka bagaimana untuk berdikari, menghargai diri serta memberi kesedaran agar tidak terlalu mengharapkan pertolongan dalam meneruskan kehidupan.

“Respons yang diterima amat baik dan atas sebab itu kami merancang untuk mengadakan lebih banyak program serupa agar golongan itu terus dapat dibantu, khususnya dalam memberi keyakinan untuk berdikari,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu beliau  melepaskan 1,300 peserta dalam kalangan OKU dan anggota keluarga mereka yang menyertai Larian Ceria OKU sempena pelancaran Bulan Kebajikan Peringkat Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata selepas melalui program itu, beliau yakin 30 peratus daripada pelatih tersebut mampu ‘berdiri atas kaki sendiri’ serta memperoleh pekerjaan bersesuaian seperti di pasar raya, restoran dan kedai-kedai pakaian.

Selepas memberikan kesedaran supaya tidak bergantung kepada bantuan, kami juga akan mencari peluang pekerjaan untuk mereka dalam usaha memastikan mereka dapat berdikari seperti mana yang diterapkan dalam program yang diikuti, katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata kerajaan, khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa prihatin dan mengambil berat kepentingan golongan OKU melalui penyediaan dana membiayai kos pelaksanaan program Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Beliau berkata setakat ini 12 PDK telah diwujudkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan  501 pelatih yang dikendalikan oleh 87 penyelia dan petugas.

IMG-20170916-WA0027

IMG-20170916-WA0024

IMG-20170916-WA0025

IMG-20170916-WA0022