Ucapan

Laporan Setiausaha Agung UMNO Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017

• Saudara dan Saudari Pengacara
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Datin Sri Paduka Rosmah Mansor,
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, bersama Datin Seri Hamidah Khamis,
• Yang Berhormat Naib Presiden, Ketua-ketua Pergerakan Sayap dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta barisan kepimpinan bahagian empat peringkat
• Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Presiden Parti-parti komponen Barisan Nasional dan NGO serta Friend’s of Barisan Nasional serta para jemputan khas
• Delegasi parti-parti luar negara dan wakil-wakil kedutaan asing serta wakil duta negara-negara jemputan
• Para media massa, Sidang Perwakilan dan para pemerhati yang saya hormati sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM NEGARAKU 1MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden

1. Syukur Alhamdulillah, atas segala rahmat dan limpah kurnia-Nya maka kita semua dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini bagi menyempurnakan tanggungjawab kita dalam melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

2. Inilah satu-satunya persidangan yang menghimpunkan bangsa Melayu, dengan asas dan tujuan sebagai sebuah parti politik, yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu, demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

3. Dalam masa yang sama, Perhimpunan kita ini menjadi bukti bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi yang tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang, malah dapat menunjukkan kepada parti-parti lain termasuklah serpihan UMNO, mengenai kaedah melaksanakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan parti, yang juga menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden dan para perwakilan sekalian,

4. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa persiapan bagi melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2017 telah pun berjalan dengan lancar dan sempurna. Persediaan ini telah dilakukan berlandaskan kepada peraturan persidangan UMNO dengan melibatkan semua peringkat.

5. Ia bermula dengan ahli-ahli UMNO di akar umbi iaitu peringkat cawangan dan bahagian yang meliputi keseluruhan anggota parti termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

6. Atas rasa tanggungjawab dan berpegang teguh pada amanah parti untuk Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat maka, ahli-ahli UMNO di semua peringkat dapat melaksanakan kebersamaan dan memastikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 menjadi realiti.

7. Sehubungan itu, dilaporkan, jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan hari ini ialah seramai 2,718 orang.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Perwakilan Sekalian

8. Perhimpunan Agung UMNO 2017 ini bukan sahaja platform kepada anggota parti di akar umbi untuk mendengar amanat dan amanah daripada para pemimpin tetapi, persidangan ini juga adalah lambang kebersamaan dalam UMNO yang meliputi semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO.

9. UMNO menjadi suara dalam semua latar belakang, dari golongan muda bergelar mahasiswa, belia, hinggalah kepada pengamal profesional; dari ceruk desa sebagai petani, pesawah, penoreh dan nelayan hinggalah ke pekan-pekan dan bandar-bandar membawa ke Ibu Kota, untuk sama-sama memperlihatkan keteguhan UMNO dalam mendukung perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara di samping memperteguh syiar Islam.

10. PerjuanganUMNO terus dihayati dan bersemarak lantaran kekuatan sokongan dari ahli-ahli parti yang tidak pernah putus terhadap kepimpinan semua peringkat. Biarpun ada pihak luar yang melemparkan tohmahan, membuat tuduhan, menabur fitnah dan cuba memecahkan perpaduan parti namun, syukur Alhamdulillah, kesatuan setiap anggota UMNO telah mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan, bukan sekadar memastikan kesinambungan UMNO terus teguh, tetapi apa yang lebih penting adalah meneruskan penghayatan terhadap asas dan tujuan parti ini ditubuhkan. Dalam apa juga keadaan, perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara.

11. UMNO menolak perjuangan peribadi,
UMNO menolak ideologi diri sendiri,
UMNO enggan bersekongkol dalam agenda berkroni,
UMNO bukan untuk memuaskan hati,
UMNO bukan sebarangan parti,
Sebaliknya,
UMNO adalah parti nusa bangsa
UMNO adalah parti pejuang agama
UMNO adalah lestari untuk negara
UMNO tetap relevan sepanjang masa – dulu, kini dan selamanya
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Perwakilan Sekalian

12. Usaha yang berterusan telah dilaksanakan oleh UMNO dalam gerakan di semua peringkat, membabitkan semua jentera parti, anggota biro-biro UMNO, dari kepimpinan tertinggi hinggalah kepada individu tersendiri di akar umbi. Perancangan menyusur akar dibuat sebagaimana saranan YAB Presiden dengan melaksanakan program Strategi Lautan Biru atau NBOS, gerakan turun dan bersemuka, bertemu bukan sahaja dengan ahli-ahli parti tetapi semua rakyat mendapat perhatian, menyelami permasalahan dalam masyarakat, berkongsi rasa dan bertukar-tukar fikiran asal saja UMNO terus kekal relevan dalam apa jua keadaan.

13. Insya-Allah, khidmat yang berterusan akan tetap dilaksana oleh UMNO,
bukan bermusim,
bukan hanya apabila menjelangnya pilihan raya,
bukan juga sandiwara atau bermuka-muka semata-mata
namun inilah tanggungjawab tulus ikhlas sepenuh hati demi memastikan setiap individu mendapat pembelaan,
merasai keselesaan dan
berkongsi kesejahteraan berpanjangan.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
14. Dalam tahun 2017, UMNO sekali lagi telah menunjukkan kebersamaan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, solidariti tulus dari ahli-ahlinya yang mempertahankan organisasi kepresidenan, sebagaimana suara bersatu hati dalam himpunan lautan merah sempena hari ulang tahun penubuhan UMNO ke-71 pada 11 Mei lalu.

15. Sesungguhnya, berkumpulnya ahli-ahli UMNO yang melangkaui 150,000 orang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei lalu adalah satu manifestasi anggota parti yang inginkan UMNO terus teguh dan perjuangannya terus bersemarak.

16. Lebih dari itu, UMNO hari ini bukan hanya tempat bernaung bangsa Melayu semata-mata tetapi turut menjadi tempat berteduh kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, khususnya dalam keberadaan UMNO bersama rakan-rakan komponen Barisan Nasional. Perancangan dan hala tuju masa hadapan diangkat dengan melibatkan semua peringkat sebagaimana kerajaan mengadaptasi Transformasi Nasional 2050 atau TN50 untuk generasi masa hadapan.

17. Dalam masa yang sama, UMNO terus bergerak dengan jentera yang tanpa lelah, memastikan bukan sahaja pertambahan bilangan ahli UMNO tetapi selari dengan anggota parti yang tentunya berdaftar sebagai pemilih lantas dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

18. Dalam keadaan UMNO diserang dari pelbagai pihak, bukan hanya pembangkang atau bekas pemimpin UMNO sendiri, ternyata keahlian UMNO terus meningkat yang membuktikan bahawa parti ini sentiasa mendapat sokongan.

19. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 6 Disember 2017, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,644,295 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,851. Negeri Sabah mencatat jumlah ahli tertinggi dengan Bahagian Silam mewakili ahli teramai sementara Kampung Batu Putih Darat, Libaran adalah Cawangan yang mencatat jumlah ahli tertinggi.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan sidang perwakilan sekalian,

20. Walaupun UMNO telah diasak dengan pelbagai tohmahan serta berdepan dengan pelbagai cabaran, namun syukur alhamdulillah kerana parti ini terus menerajui kecemerlangan, bukan sahaja dalam pembangunan dan kemajuan negara tetapi juga mempunyai jalinan hubungan dua hala yang amat baik dengan parti-parti politik serantau dan di peringkat antarabangsa.

21. Dilaporkan dalam persidangan kita kali ini, UMNO menerima delegasi luar negara seramai 95 orang delegasi, mewakili 20 parti melibatkan 16 buah negara. Marilah kita sama-sama mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa.
1. CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY, CAMBODIA
2. COMMUNIST PARTY OF CHINA, CHINA
3. BHARATIYA JANATA PARTY (BJP), INDIA
4. PARTAI DEMOKRAT, INDONESIA
5. PARTAI DEMOKRASI INDONESIA PERJUANGAN, INDONESIA
6. PARTAI GERAKAN INDONESIA RAYA (GERINDRA), INDONESIA
7. PARTAI PERINDO, INDONESIA
8. PARTAI NASDEM, INDONESIA
9. NUR OTAN PARTY, KAZAKHSTAN
10. LAO PEOPLE’S REVOLUTION ARY PARTY (LPRP), LAO PEOPLE’S DEMOCRATIC REPUBLIC
11. PROGRESSIVE PARTY OF MALDIVES (PPM), MALDIVES
12. PALESTINE NATIONAL LIBERATION MOVEMENT (FATAH), PALESTINE
13. ISLAMIC RESISTANCE MOVEMENT (HAMAS), PALESTINE
14. UNITED BANGSAMORO JUSTICE PARTY (UBJP), PHILIPPINES
15. PEOPLE’S ACTION PARTY (PAP), SINGAPORE
16. NATIONAL CONGRESS PARTY, SUDAN
17. PHEU THAI PARTY, THAILAND
18. ENNAHDHA PARTY, TUNISIA
19. AK PARTY ,TURKEY
20. COMMUNIST PARTY OF VIETNAM, VIETNAM
1. OBSERVERS :
ALLIANCE OF CONSERVATIVES AND REFORMISTS EUROPE (ACRE)

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,

22. Dalam masa yang sama, Perhimpunan Agung UMNO ini juga turut disertai oleh golongan muda yang sentiasa kita alu-alukan khususnya para penuntut di peringkat pengajian tinggi. Di sini kita himpunkan seramai 77 perwakilan dari Kelab UMNO Luar Negara selain kehadiran perwakilan mahasiswa dalam negara mewakili institusi pengajian tinggi awam dan swasta atas nama Mahasiswa Nasional.
23. Bukan itu sahaja, Perhimpunan Agung UMNO 2017 ini turut mendapat perhatian dengan liputan penuh daripada media dalam dan luar negara membabitkan sebanyak 75 agensi media cetak dan elektronik.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
24. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2017.
25. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh