Berita

Raikan Tahun Baru Cina Dalam Semangat ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’

PUTRAJAYA – Ketibaan perayaan Tahun Baru Cina perlu diraikan bersama-sama secara muafakat sebagaimana kelestarian masyarakat majmuk di Malaysia, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, keharmonian dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan perlu menjadi aspirasi dengan keazaman tinggi untuk meningkatkan integriti di semua peringkat termasuklah mempereratkan perpaduan rakyat.

“Keupayaan dalam mewujudkan kehidupan ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ tentunya tidak mustahil dengan kelangsungan perpaduan biarpun masyarakatnya berbilang bangsa, anutan agama berbeza dan budaya yang berlainan.

“Inilah aspirasi masyarakat majmuk di negara kita yang berpegang kepada konsep kesatuan dalam kepelbagaian,” katanya.

Ujar beliau lagi, kesatuan dalam kepelbagaian terus menjadi acuan terbaik dalam melestarian warga Wilayah Persekutuan dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.