Elak Jadi Mangsa Sabotaj Menjelang Pilihan Raya – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Anggota Barisan Nasional (BN) diminta berhati-hati terhadap ancaman dalaman atau pihak luar yang sengaja mencari kesilapan menjelang musim pilihan raya, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata masalah itu terpaksa dihadapi oleh calon-calon BN apabila tidak mustahil ada segelintir pihak yang berdengki serta unsur sabotaj.

Mengulas penahanan Ketua UMNO Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar berhubung penyalahgunaan dadah, Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung UMNO, berkata pihaknya sedang menunggu laporan siasatan pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan lanjut di peringkat parti.

“…tetapi saya tahu ada unsur-unsur sabotaj. Tiga minggu lalu, Ketua (UMNO) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kena, sekarang Rizalman. Lepas ini tak tahu siapa kena. Kita panggil musim ini ‘silly time in politics’ (keadaan yang berlaku sebelum pilihan raya apabila janji tidak dapat ditunai dan tuduhan liar menjadi perkara biasa),” katanya diminta mengulas status Rizalman yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ditemui pemberita selepas melancarkan Program Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18 (1), di sini hari ini.

Pada satu sidang media semalam, Rizalman mendakwa disabotaj kerana tidak pernah terbabit dalam sebarang pengambilan dadah dan yakin ia adalah satu perangkap terhadapnya bertujuan merosakkan nama baik beliau.

Ditanya sama ada insiden tersebut merupakan ancaman dalaman BN, Tengku Adnan yang tidak menolak kemungkinan itu berkata: “Ini masalah di dalam dan di luar juga. Pembangkang juga tahu jentera Wilayah Persekutuan bergerak begitu lancar dan baik. Momentum itu menggugat pembangkang dan pembangkang akan mencari jalan.”

%d bloggers like this: