Berita

Manifesto BN Janji Yang Mampu Ditepati

PUTRAJAYA – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah manifesto yang inklusif untuk semua lapisan rakyat dan merupakan janji yang akan ditepati.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara ini telah dibuktikan melalui prestasi BN sebagai sebuah kerajaaan yang bertanggungjawab dengan merealisasikan 99.4 peratus daripada Aku Janji PRU13 sebelum ini.

“Kita bukan janji olok-olok, kita merupakan kerajaan yang bertanggungjawab. BN merupakan gagasan yang berbilang kaum dan BN sahaja lah yang dapat menentukan masa depan Malaysia dalam mencapai status negara maju,” katanya kepada media selepas melancarkan program V4 Putrajaya di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutan turut berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memasukkan projek-projek pembaharuan bandar dan pembangunan semula bandar di Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian daripada manifesto BN.

“Saya gembira apabila PM memgumumkan mengenai pembaharuan bandar yang bermaksud kawasan lama seperti flat-flat berkeluasan 480 kaki persegi (kps) ke 500 kps akan dibangunkan semula dengan keadaan yang lebih selesa kepada sekurang-kurangnya 800kps.

“Malah, kawasan riadah juga kita akan bina berbeza dengan apa yang kita lakukan pada berpuluh-puluh tahun lepas,” katanya.

Selain itu katanya mengenai pembangunan semula bandar, kerajaan akan memberi tumpuan kepada kawasan komersial seperti di Jalan Imbi, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Chow Kit Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata manifesto peringkat wilayah persekutuan akan diumumkan minggu depan yang antara lain akan memberi tumpuan dalam menyediakan komuniti berpagar di kawasan-kawasan elit.

“Komuniti berpagar ini akan dipantau oleh oleh pihak berkuasa tempatan di setiap wilayah seperti di Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kita akan menyusun termasuk penyediaan pondok pengawal dan pengambilan pengawal keselamatan yang lebih baik dan tersusun,’katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas titah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disiarkan melalui akaun Facebook, Johor Southern Tigers semalam yang antara lain menyentuh mengenai saranan baginda untuk menolak pakatan pembangkang.

“Saya percaya bukan hanya TMJ, tetapi rakyat juga sedar bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Saya menyokong penuh kenyataan ke bawah duli Tuanku dan percaya baginda tahu apa yang berlaku dalam Johor dan menasihatkan rakyatnya agar jangan salah pilih,” katanya.

Tengku Adnan turut menempelak rancangan pakatan pembangkang untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat pada PRU-14 nanti kerana Pakatan Harapan merupakan gabungan yang tidak berdaftar.

“Mereka belum mendaftar, dan semua yang mereka lakukan tidak ikut undang-undang lepas itu mereka kata kerajaan tidak ikut undang-undang… Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) salah, pegawai kerajaan salah dan yang ada sekarang ini semua nak kena buang,” katanya.