Berita

Program Jom Isi Minyak Percuma Bukan Gula-Gula Pilihan Raya

PUTRAJAYA – Program Jom Isi Minyak Percuma anjuran Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya bukanlah ‘gula gula’ sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya bertujuan meringankan beban rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim, berkata pihaknya sudah mengadakan program percuma itu sudah lama iaitu berkenaan sejak awal tahun lalu.

“Tuduhan ia adalah ‘gula gula’ sempena PRU tidak benar sama sekali.

“Bukan seperti pembangkang, mereka buat program yang sama hanya sekali kemudian hilang, tetapi kami adakan program ini secara konsisten setiap bulan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Jom Isi Minyak Percuma di Presint 9, di sini, hari ini.

Ahmad Faisal berkata, kali ini pihaknya memperuntukkan sebanyak RM3,000, yang memberi manfaat kepada lebih 300 penunggang motosikal.

“Ketika kali pertama program ini dilaksanakan, kami memperuntukkan RM5 bagi setiap pemilik motosikal berkuasa di bawah 150cc.

“Tetapi ketua kampung (Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) sangat prihatin dan mengatakan ia tidak mencukupi kerana setiap motosikal tidak sama.

“Jadi, kali ini tiada had dikenakan asalkan tangki motor mereka penuh,” katanya.

Program berkenaan diadakan pada jam 5 petang, tetapi tinjauan NSTP mendapati sejak jam 4 petang lagi, pekarangan Stesen Petronas Presint 9 mula dipenuhi oleh orang ramai.

Seorang penduduk, Amirul Amin Suhaimi, 18, berkata ini kali pertama beliau dapat mengisi minyak secara percuma.

“Sebelum ini saya asyik terlepas setiap kali program ini diadakan. Jadi, kali ini saya sudah beratur di sini seawal jam 4 petang,” katanya. – BHarian

IMG-20180410-WA0094