Berita

PRU14: Cuti Umum 9 Mei Bukti Kerajaan Dengar Rintihan Rakyat

PUTRAJAYA – Pengumuman cuti umum sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berprihatin serta mendengar keluhan rakyat untuk keluar mengundi pada hari bekerja.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan mahu memberi peluang kepada rakyat untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing biarpun tarikh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan hari bekerja.

“Penetapan tarikh tersebut adalah keputusan SPR dan kebetulan jatuh pada hari Rabu. Kerajaan mengambi keputusan memberi cuti umum kerana kerajaan tahu dan mahu supaya rakyat dapat turun mengundi.

“Jadi, pembangkang jangan buat cerita bukan-bukan seperti kerajaan tidak mahu orang ramai keluar mengundi dan sebagainya. Ini semua pembohongan semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat, di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata demikian sebagai mengulas

kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini yang mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara bagi membolehkan rakyat Malaysia keluar mengundi pada PRU14.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Semalam, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

Mengenai manifesto khusus untuk Wilayah Persekutuan, beliau berkata ia akan diumumkan secara serentak dengan pengumuman calon BN bagi PRU14.