Jangan Sabotaj Parti Untuk PRU14, Tindakan Akan Diambil – Tg Adnan
KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak melakukan sabotaj kepada parti atau memberikan sokongan kepada pihak yang bertentangan dengan UMNO kerana boleh dipecat serta-merta dan digantung keanggotaan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO untuk mengambil maklum bahawa semua anggota parti termasuklah yang memegang jawatan dalam mana-mana peringkat adalah terikat dengan tataetika parti dan Perlembagaan UMNO.
“Saya menasihatkan agar semua ahli-ahli UMNO tidak terlibat dalam tindakan yang menyalahi atau melanggar peraturan parti khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Ini termasuklah melakukan sabotaj kepada parti, memberikan sokongan kepada pihak yang bertentangan dengan UMNO atau apa-apa juga kesalahan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas beliau, mana-mana anggota parti yang didapati bersalah melakukan hal-hal yang menyalahi kehendak parti boleh dipecat serta-merta dan digantung keanggotaan.
“Saya berharap agar semua ahli dapat memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada UMNO serta dapat melaksanakan tanggungjawab untuk sama-sama memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRU-14 nanti.” – MediaUMNO