Berita

BN Wilayah Persekutuan Garis Lima Teras Dalam Manifesto PRU14

KUALA LUMPUR, 22 April – Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan (WP) hari ini melancarkan manifesto khas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang mengandungi 65 initiatif bagi memastikan warga WP mengecapi nikmat pembangunan selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata manifesto yang bertemakan ‘Aspirasi Rakyat Agenda Kami’ itu mengandungi lima teras utama iaitu Wilayahku Maju, Sejahtera, Selesa, Aman dan Ceria.

“Selaras dengan aspirasi rakyat, agenda manifesto BN Wilayah Persekutuan mensasarkan keperluan seluruh lapisan rakyat selaras dengan manifesto utama BN yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum ini,” katanya katanya berucap melancarkan manifesto berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Di bawah Wilayahku Maju, BN WP berikrar memacu pertumbuhan ekonomi serta mempelbagaikan peluang perniagaan dan ekonomi termasuk menawarkan tempat kepada 10,000 usahawan berkonsepkan karavan atau trak makanan (food truck).

Tengku Adnan berkata BN WP juga akan menstruktur semula permohonan lesen perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga daripada golongan muda.

Bagi teras kedua iaitu Wilayahku Sejahtera, Tengku Adnan berkata BN WP berjanji memperkukuhkan kualiti sosial dan pendidikan antaranya dengan menyediakan bas sekolah percuma kepada 12,000 pelajar di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).

BN WP turut berikrar akan menganjurkan majlis perkahwinan secara percuma bagi meringankan beban belia berpendapatan rendah untuk memulakan hidup berkeluarga, dengan sasaran 100 pasangan diraikan setiap tahun.

Mengenai teras ketiga Wilayahku Selesa, Tengku Adnan berkata BN WP akan terus berusaha menyediakan kediaman mampu milik yang kondusif dan terselenggara dengan membina 20,000 Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) untuk golongan pertengahan.

“Bagi teras keempat, Wilayahku Aman, kita akan mewujudkan kejiranan yang selamat dengan memasang 10,000 lampu di taman awam dan memastikan sifar warga asing menduduki PPR dan PPA,” katanya.

Mengenai teras kelima Wilayahku Ceria, kerajaan BN komited memperkasakan penyediaan prasarana melalui inisiatif memperbanyakkan pembinaan parkir bertingkat terutama di kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan memperluaskan perkhidmatan bas perantara di kawasan perumahan, stesen LRT dan MRT.

Mengenai Aku Janji BN WP pada PRU yang lepas, Tengku Adnan berkata hampir semua yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU13 itu telah dilaksanakan dan ditunaikan.

Antaranya termasuk membina 88,917 Rumawip yang melebihi sasaran asal iaitu hanya 80,000 unit serta membantu 1,496 gelandangan menerusi penyediaan penginapan sementara dan kemudahan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dengan 563 daripada mereka mendapat pekerjaan.

“Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab dan patuh kepada janji, kita telah berjaya melaksanakan hampir keseluruhan janji-janji kita di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk di kawasan Parlimen yang bukan milik kita,” katanya.