BN Guna Teknologi Terkini Untuk Kempen PRU14

KUALA LUMPUR – Selaras dengan perkembangan semasa, Barisan Nasional (BN) mengambil langkah setapak ke hadapan apabila menggunakan teknologi terkini yang dikenali sebagai Augmented Reality (AR), sebagai medium penyampaian maklumat dan agenda kerajaan bukan sahaja dalam tempoh berkempen ini, tetapi juga bagi lima tahun akan datang sekiranya terus diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU ke-14) ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, teknologi Augmented Reality (AR) ini telah banyak digunakan di negara-negara besar yang lain sebagai satu alternatif baharu dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Teknologi AR ini adalah sebuah teknologi yang mampu menimbulkan imej dunia maya tiga dimensi (3D) secara langsung yang diproses melalui komputer dengan kemahiran yang tinggi, hingga mampu menampakkan imej 3D seolah-olah ia benar-benar wujud di persekitaran kita.

“Teknologi AR yang bakal kita lancarkan ini akan digunakan di dalam aplikasi HebatkanNegaraku yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store menerusi telefon pintar masing-masing.

“Dengan aplikasi HebatkanNegaraku, diharapkan ianya dapat memudahcarakan para pengundi untuk mengenali calon-calon BN mengikut Parlimen masing-masing.

“Selain itu, penyampaian mesej tentang isu semasa serta manifesto sempena PRU ke-14 ini oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dapat dilihat dan didengar dalam bentuk hologram melalui trak-trak yang akan bergerak ke seluruh pelusuk negara sepanjang tempoh kempen ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Aplikasi Digital Kempen BN yang diadakan di perkarangan PWTC, di sini hari ini.

Jelas beliau, aplikasi ini juga memudahkan rakyat dan pengundi untuk mengenali calon BN baik di Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen dengan lebih dekat untuk mendengar aspirasi dan mesej yang mahu disampaikan oleh wakil BN kepada pengundi.

Aplikasi pintar ini juga turut memuatkan mesej, idea dan perancangan Perdana Menteri dalam memacu negara ini menjadi sebuah negara maju serta merealisasikan Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

“Justeru saya mengajak para pengundi dan rakyat di luar sana, kenalilah calon-calon anda dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini ini untuk memastikan anda faham dan jelas apa yang akan dilaksanakan oleh BN sekiranya rakyat terus memberikan mandat untuk mentadbir negara pada PRU ke 14 ini.

“Saya juga berharap semoga dengan pengunaan teknologi kempen yang terkini seperti ini, ia akan mendekatkan lagi para pengundi kepada aspirasi BN serta iltizam calon-calon yang akan memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat di kawasan yang mereka wakili,” jelasnya.

Langkah penggunaan aplikasi HebatkanNegaraku :

Muat turun aplikasi HebatkanNegaraku di Google Play Store atau Apple App Store.
Buka aplikasi HebatkanNegaraku.
Pilih Bahasa pilihan anda (Englis/Bahasa Melayu).
Pilih kawasan parlimen anda.
Ikuti arahan dan selanjutnya di dalam aplikasi ini.
Sila tekan butang muat turun untuk Tonton-Dengar mesej daripada calon Barisan Nasional di kawasan Parlimen anda
Halakan kamera ke arah Poster AR+ untuk mengaktifkan fungsi interaktif AR ini.
Selain itu, anda juga boleh Tonton-Dengar mesej dan amanat daripada YAB Perdana Menteri dengan mengulang langkah 6 & 7.

%d bloggers like this: