Ucapan

PUTERI BANGKIT – UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

1. Pertama sekali, Kak Ida ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih kepada semua para perwakilan PUTERI yang hadir pada hari yang bersejarah ini.

2. Di kesempatan ini juga, Kak Ida ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Naib Ketua PUTERI, barisan Exco dan semua kepimpinan di Bahagian yang baru sahaja menang pada pemilihan yang lepas.

3. Pertemuan kita pada hari ini merupakan satu pertemuan yang amat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. Kerana inilah pertama kali, kita berkumpul bukan lagi sebagai parti yang berkuasa, tetapi sebagai pembangkang, yang tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara ini.

Para Perwakilan yang saya hormati,

4. Sejak Merdeka, inilah kali pertama kita hilang kuasa. Memang pahit untuk ditelan. Namun inilah realiti yang harus kita hadapi.

5. Secara peribadi, pertemuan ini juga sangat bersejarah bagi Kak Ida, kerana inilah pertama kali Kak Ida diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia.

6. Bagi Kak Ida, ini adalah cabaran baru dalam kehidupan Kak Ida untuk memimpin sebuah pergerakan yang sebegini penting. Lebih-lebih lagi ia berlaku di saat yang getir ini.

7. Pengalaman ini tak pernah dirasai oleh sesiapa pun sebelum ini, dan Kak Ida tidak dapat belajar dari mana-mana Ketua PUTERI terdahulu.

8. Pengalaman baru ini adalah pengalaman kita bersama. Termasuk yang terpaksa memikul tanggungjawab perjuangan ini di semua peringkat, Bahagian dan Cawangan. Pahit manis, mari kita harungi bersama. Mari kita bina kekuatan baru, kerana apa pun yang kita usahakan, apa pun yang kita harungi, akan menjadi kenangan manis untuk kita tinggalkan buat generasi akan datang.

9. Kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada pilihanraya ke-14 baru-baru ini membuka lembaran baru dalam sejarah perjuangan UMNO. Ia merupakan satu pengalaman yang mengajar kita nilai kerendahan diri, nilai keinsafan dan menuntut kita bermuhasabah, di manakah silap kita sebelum ini.

10. Ia juga mendidik diri kita untuk mengakui bahawa kuasa yang ada, tidak kekal selama-lamanya.

11. Seperti juga kehidupan kita, kuasa adalah sementara. Ia adalah pinjaman yang diberikan Allah swt. Baik apa yang diberikanNya kepada kita, atau, yang diberikan kepada orang lain. Ia boleh ditarik pada bila-bila masa sekiranya Allah mengkehendakinya. Termasuk mereka yang memerintah hari ini.

12. Kalau hari ini kita hilang kuasa, Kak Ida percaya, tidak mustahil, dengan izin Allah swt juga, satu masa nanti, kuasa yang hilang itu akan dapat diperolehi kembali.

13. Paling penting, kita mesti jujur dalam meneruskan perjalanan ini. Ikhlas dalam perjuangan kita. Agar, sekiranya ditakdirkan, kita diberikan lagi kuasa itu, bukanlah masa untuk kita mendabik dada, sombong dan berbuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan rakyat di masa depan.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

14. Mari kita tanamkan dalam diri, untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini. Sepertimana yang telah digariskan oleh Timbalan Presiden dalam ucapannya semalam dalam menghadapi cabaran semasa.

15. Pengalaman ini juga merupakan satu petunjuk untuk membezakan di kalangan kita, antara ‘PEJUANG SEJATI’ DAN ‘PEJUANG JADIAN’. ‘Pejuang sejati’ ialah yang kekal dalam apa jua keadaan. ‘Pejuang jadian’ hanya muncul di kala senang dan menang, tetapi, lari ketika susah dan kalah.

16.Kita saksikan juga golongan PELOMBONG POLITIK. Iaitu orang yang hanya berpolitik sekiranya dapat meraih faedah peribadi seberapa banyak yang boleh. Bahkan ketika ini, kita juga dapat melihat mereka yang mendapat kedudukan dari UMNO, tetapi menjual kedudukan itu kepada musuh. Maaf kata, mereka tidak lebih daripada pelacur politik yang tidak bermaruah.

17. Saya yakin, semua yang hadir hari ini, adalah orang UMNO yang komited. Saya percaya, yang ada di dalam dewan ini adalah antara pejuang hakiki dan anak-anak muda yang masih yakin dan menyokong
perjuangan parti keramat ini. Terima kasih sekali lagi Kak Ida dan rakanrakan Exco ucapkan.

18. Kata pepatah: kalah menang adat pertandingan. Adakalanya kita menang. Ada ketikanya kita kalah. Ini lumrah dalam perjuangan dan roda kehidupan, yang kita perlu terima untuk menjadi pejuang sejati.

19. Saya menyeru rakan-rakan seperjuangan semua, untuk mengambil kekalahan lalu sebagai satu pengalaman yang mematangkan, seperti kisah anak burung yang dipaparkan tadi.

20. Anak burung yang kecil pun, mesti melalui pengalaman jatuh dari gunung yang tinggi, terlanggar batu, terguling di bumi, sebelum bangkit kembali, membesar sebagai makhluk yang gagah perkasa, yang boleh terbang lebih tinggi dari gunung tadi.

21.In shaa Allah, UMNO yang jatuh juga, boleh bangkit kembali untuk lebih perkasa, gagah, berani dan dapat memberi yang lebih baik dari apa yang pernah diberikan kepada rakyat sebelum ini.

22. UMNO adalah parti yang besar jasanya. UMNO adalah parti yang memerdekakan negara. UMNO telah membangunkan negara dan UMNO juga lah yang memberikan kemakmuran kepada negara yang berbilang kaum ini.

23. Paling penting, kerana UMNO juga lah AGAMA ISLAM dan BANGSA MELAYU dihargai dan tidak menjadi umat yang merempat di bumi sendiri. Ketakutan orang sebelum kita, apabila melihat nasib Red Indian di Amerika, atau bangsa kulit hitam di Afrika Selatan, atau mana-mana pribumi lain yang terpinggir dibumi sendiri, tidak berlaku di tanah air kita kerana UMNO lah yang sentiasa mempertahankan apa yang sepatutnya menjadi hak kita dan di masa yang sama kita tidak menafikan hak orang lain.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

24. Kita boleh lihat dengan jelas. Melalui UMNO lanskap negara ini berubah. Ketika ditinggalkan penjajah, Melayu dilihat hanya sebagai bangsa desa, bangsa pesawah dan nelayan. Bangsa miskin yang terpinggir, bangsa yang rendah pendidikannya dan bangsa yang serba kekurangan.

25.Namun, berkat kerja keras pemimpin UMNO, yang dibantu oleh pemimpin bangsa lain, kita boleh saksikan bagaimana negara kita boleh berubah menjadi maju dan sejahtera bagi seluruh rakyat di negara ini. Nikmat ini tidak mungkin kita kecapi, tanpa komitmen yang diusahakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

26. Saya masih ingat lagi, mengapa orang-orang China di Indonesia lari ke Malaysia mencari tempat perlindungan. Ianya berpunca dari krisis kewangan yang melanda Indonesia di akhir tahun 90an.

27. Ketika itu kaum pribuminya yang menderita, jatuh miskin akibat krisis itu menghalakan kemarahannya kepada kaum lain yang dilihat menguasai lebih 80 peratus ekonomi negara itu. Ia tidak berlaku di Malaysia, kerana melalui UMNO, melalui dasar dan programnya, kecemburuan kaum kerana faktor ekonomi dan status sosial telah dapat dikurangkan. Ertinya melalui UMNO, kalau kaum lain ada jurutera, doktor, arkitek dan pelbagai profesion yang hebat, kaum pribumi di sini juga ada memilikinya.

28. Melalui UMNO, kita tidak berkira-kira berapa kos yang terpaksa ditanggung untuk membuka kawasan-kawasan felda, membina jeti nelayan, membangun sekolah dan klinik di kawasan yang terceruk atau memberikan pelbagai kemudahan dan subsidi untuk pesawah dan petani.

29. Melalui UMNO juga, kita tidak pernah membenarkan orang pertikaikan berapa banyak masjid yang perlu di bina, madrasah dan tahfiz yang perlu dibantu dan pengembangan syiar Islam menjadi agenda utama negara ini.

Para pemerhati, barisan kepimpinan PUTERI dan perwakilan sekalian,

30. Semua ini bukan berlaku secara kebetulan, dan dalam tempoh sehari dua. Ia memerlukan usaha dan strategi. Ia mengambil masa berpuluh tahun. Ia boleh dilakukan kerana UMNO terus berkuasa ketika itu. Oleh itu bagi rakyat terutama orang Melayu, janganlah angkuh, mendabik dada mengatakan UMNO langsung tidak ada jasa untuk negara dan untuk orang Melayu.

31. Kita bukan ingin bernostalgia semata-mata. Namun, amat perlu bagi kita mengingati sejarah perjuangan bangsa kita. Kerana dengan mengingati sejarahlah, kita akan tahu asal usul kita, membangkitkan jati diri kita dan menjadi sumber kekuatan bangsa kita.

32. UMNO masih relevan, kerana apa yang telah kita bina belum tentu akan diteruskan oleh orang lain. Apakah kita boleh harapkan DAP memperkukuhkan kedudukan Islam dan Melayu? Sudah tentu tidak, kerana ia bukan agenda parti mereka.

33. Kita tidak boleh mengharapkan PKR, kerana PKR bukan parti orang Melayu. Ia parti pelbagai kaum dan tidak mampu untuk meletakkan Islam dan Melayu sebagai fokus perjuangan mereka.

34.Bahkan, parti berlambang Bunga pun hanyalah parti kecil yang terpaksa bergantung kepada parti-parti lain untuk berkuasa. Hidup mereka hanya bergantung kepada individu tertentu dan paling utama kepada DAP yang menjadi abang besar dalam pakatan mereka.

35. Apakah hanya dengan mengambil beberapa orang bekas pemimpin UMNO maka mereka boleh menggantikan UMNO untuk mengisi asas perjuangan UMNO? Ia tidak mungkin boleh berlaku dengan mudah.

36. UMNO bukan sekadar parti politik orang Melayu. Ia adalah institusi orang Melayu, bermula tanpa kuasa. Di kukuhkan dengan kuasa, dan tak boleh dilenyapkan hanya kerana hari ini kita tidak berkuasa lagi.

37. Institusi orang Melayu dibangunkan melalui tradisi, organisasi, cara berfikir yang menyeluruh dan paling penting penglibatan akar umbi yang menjalar ke setiap saluran nadi orang Melayu di negara ini. Ia mengambil masa berpuluh tahun. Ia melalui jatuh bangun tersendiri. Itulah UMNO dan tak mungkin boleh digantikan dengan hanya sebuah parti baru, walaupun diterajui oleh beberapa bekasan orang UMNO.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

38. Kita akui kita kalah, mereka menang. Kita akui kita kalah kerana ada kelemahan kita. Kelemahan kita kerana tak mampu mengatasi penipuan dan persepsi jahat yang digunakan sebagai peluru untuk menyerang kita sebelum ini.

39. Penipuan persepsi ini telah melenyapkan apa jua kebaikan yang kita berikan selama ini. Penipuan persepsi ini telah melenyapkan semua usaha kita mendekati rakyat, menjaga kebajikan rakyat, mengambil berat kesusahan rakyat dan menguruskan pelbagai bencana yang menimpa rakyat. Penipuan persepsi ini juga menjadikan rakyat melihat mereka umpama dewa baru yang boleh memberikan segala-galanya.

40. Penipuan persepsi yang jahat ini bukan sekadar mengaburi mata orang kampung, malah berjaya memperdaya masyarakat bandar dan mereka yang berpendidikan tinggi. Ia umpama virus yang merebak dan merosakkan pemikiran rakyat seluruh negara.

41. Namun, setelah lebih 100 hari, ramai yang baru terjaga dari mimpi indah tadi.

42. Saya nak tanya pada orang Utara atau pun orang Selatan, masa datang ke sini, apakah benar tol sudah dihapuskan?

43. Adik-adik Mahasiswa kita, kena bayar hutang PTPTN lagi tak?

44. Kepada anak-anak Felda, apakah hutang Felda ibubapa kita sudah dihapuskan?

45.Pekerja swasta, apakah mereka berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum yang dijanjikan sebanyak RM1500 sebulan kepada hanya RM1050 sebulan?

46. Anak-anak muda yang dijanjikan satu juta peluang pekerjaan, ada ke?

47. Buat seluruh rakyat Malaysia, tanpa GST, harga barang dah turun ke belum? Rupanya digantikan pula dengan SST „Slow Slow Tipu‟.

48. Hari ini empat bulan sudah berlalu. Alasan demi alasan yang diberikan. Janji tinggal janji. Bila ditanya, mereka kata, bagilah masa. ‘Takkan hari ni kahwin esok dah beranak kot‟.

49. Betul! Baru kawin. Masih honeymoon. Tengah berseronok dengan barang baru. (Malaysia Baru konon).

50. Masalahnya, dah lebih seratus hari. Dah lebih empat bulan. Sepatutnya kalau akan dapat anak, tanda-tanda mengandung itu sudah ada.

51. Yang kita nampak, seperti tak ada langsung. Dah buat ujian air kencing ke? Kalau sudah buat, ceritalah sikit. Kalau tidak, orang kata kerajaan ini hanya asyik kencing sahaja.

52. Bagi orang Melayu, janji itu hutang. Kalau tak boleh tunaikan, jangan mudah berjanji. Kalau nak berjanji, fikir masak-masak apakah ia mampu ditunaikan. Bagi orang Melayu, soal maruah seseorang itu terletak kepada sejauh manakah ia berpegang kepada janjinya. Orang yang mungkir janji, ibarat menyimbah air kencing kepada orang yang dijanjikan.
Walaupun begitu ada juga pemimpin kerajaan yang kata‟ manifesto bukan kitab suci!.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

53. Hari ini, kita melihat PENIPUAN PERSEPSI tadi semakin terungkai satu persatu, apabila rakyat semakin terasa, selama ini mereka yang dikencing.

54. Ada juga sebahagian dari rakyat yang mempertahankan keputusan dahulu kerana merasakan masa berbulan madu belum selesai. Masa honeymoon, semuanya indah. Kalau kita beritahu belakang ada kurap. Dia kata itu panau je. Kalau ada kudis dibelakang telinga, dia kata itu jerawat je. Bahkan ada yang mengatakan mereka memilih kerajaan baru bukan kerana janji, tetapi hanya untuk melihat kita dijatuhkan. ‘Takpe bayar SST pun, janji BN tumbang’.

55.Biar masa menentukan untuk rakyat melihat mana kudis, mana kurap. Tunggulah, rakyat pasti melihat realiti sebenar keupayaan kerajaan baru yang sebenarnya apabila topeng yang dipakai ditanggal satu persatu.

56. Bagi kita, kegagalan melaksanakan manifesto dan janji-janji pilihanraya adalah satu dari apa yang kita pertikaikan. Paling menakutkan, sekiranya tampuk kekuasaan yang mereka perolehi akan digunakan untuk merombak asas yang menjadi tonggak penubuhan negara yang bernama Malaysia ini.

57. Ini termasuk persetujuan asal yang menjadi asas kontrak sosial negara kita.

58. Bila kita bercakap soal bahasa Melayu, agenda Melayu, soal kedudukan agama Islam, soal institusi kesultanan untuk melindungi agama dan kedudukan orang Melayu, kita bukan bercakap dari perspektif seorang rasis atau agamawan. Bahkan kita menolak fahaman rasisme yang menganggap satu kaum lebih superior dari kaum lain sehingga boleh menganiaya kaum yang lain pula. Kita tidak akan membenarkan sebarang penganiayaan dalam apa bentuk sekalipun.

59. Kita bercakap tentang apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang dimeterai oleh pengasas negara sebelum kita. Iaitu apa yang menjadi hak orang melayu dan apa yang menjadi hak kaum-kaum lain yang diberi kerakyatan untuk tinggal di negara bertuah ini.

60. Hari ini, tanda-tanda ada usaha mencabar persetujuan asas begitu ketara. Hanya beberapa hari saja selepas kemenangan mereka, bukan soal rakyat yang diutamakan, tetapi, bahasa Mandarin mula digunakan dalam edaran rasmi kerajaan. Ia adalah ujian, untuk melihat reaksi kita. Sudah ada desakan memberikan hak pemilikan tanah kepada kampungkampung baru yang dikaitkan dengan kaum-kaum tertentu. Yang terbaru, Tuanku Sultan Johor murka apabila ada ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri menggunakan bahasa cina dalam urusan surat rasmi mereka.

61. Ada pula yang menganggap kerajaan baru, kerajaan yang boleh membenarkan segala-galanya. Mengedarkan nyanyian lagu berunsur penyebaran agama lain untuk anak-anak orang Islam. Ini juga ujian untuk melihat reaksi kita.

62. Bahkan terdapat gerakan baru di bawah kerajaan PH, sesuatu yang bukan menjadi norma masyarakat kita seperti pendewaan golongan LGBT dan sebagainya. Fenomena ini amat merisaukan kita.

63. Pencabulan ‘rule of law’ semakin berleluasa. Pendakwaan terpilih berlaku hampir setiap hari. “orang kita kena dakwa, orang dia terlepas walau ada bukti dan cukup saksi”. Mana ‘rule of law’ yang dilaung-laungkan selama ini? Yang kita dengar ‘rule of jungle‟,adalah ataupun Rule of no
Law”.

64. Ketika ini semua kena bersedia, lebih banyak pendakwaan terpilih akan berlaku, untuk melemahkan semangat kita. ISA dihapuskan oleh kerajaan kita dahulu. Kini pelbagai undang-undang lain digunakan untuk menakutnakutkan kita terutama pemimpin kita.

65. Saya percaya tak lama, akan berlaku trend orng memakai fesyen baru. Baju oren. Jenama lokap dan memakai gelang seperti gari. Tanda protes bagaimana undang-undang digunakan hanya untuk musuh politik, tetapi akan membebaskan sesiapa yg tunduk kepada kemahuan mereka. Kita tak
mahu rule of the jungle mengatasi rule of law di negara tercinta ini”

66. Pastinya, kita akan diasak bertalu-talu dalam mempertahankan apa yang sudah dipersetujui bersama. Siapa lagi yang boleh diharap mempertahankan apa yang dipersetujui dahulu melainkan UMNO, kita lah pendokong UMNO yang sepatutnya menjadi benteng kepada orang Melayu. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

67. Memperkukuhkan benteng orang Melayu ini adalah asas hala tuju kita. Bagi Pergerakan PUTERI UMNO sebagai sayap paling bongsu dalam parti, tanggungjawab kita untuk melakukan anjakan paradigma bagi merelevankan pergerakan kita kepada generasi muda khususnya Mahasiswi dan wanita muda.

68. Mind setting kita MESTILAH SEBAGAI PEMBANGKANG, BUKAN LAGI KERAJAAN. Gerak kerja berorientasikan KHIDMAT BUKAN LAGI KEUTAMAAN, tetapi berorientasikan PEMBINAAN MINDA AHLI dan PENGURUSAN PERSEPSI rakyat terhadap kita dan kerajaan yang memerintah.

69. PUTERI akan menjadi suara dan deria untuk memperjuangkan segala masalah wanita muda, penderitaan rakyat dan menegur kerajaan hari ini secara membina dan konstruktif.

70. Anjakan paradigma ini, mampu menghilangkan blind spots yang menjadi antara faktor kekalahan kita pada PRU14.

71. Walaupun kita diasak dari pelbagai sudut, tekad PUTERI, apapun halangan, onak duri dan tawaran, jiwa raga kita tetap bersama UMNO.

Di sana Merak disini Merak,
Merak mana jadi pilihan Puteri, Disana hendak disinipun hendak, UMNO tetap pilihan hati.

72. Ayuh PUTERI, kita bangkit bersama. Kita mulakan dengan pemerkasaan dalaman parti terlebih dahulu.

73. Pergerakan PUTERI menggariskan Lima ‘S’ sebagai pra syarat dan teras pemerkasaan dalaman PUTERI Bangkit iaitu:

Pertama : Solidariti
Kedua : Sinergi
Ketiga : Survival
Keempat : Sukarela
Kelima : Strategi.

SOLIDARITI . SINERGI . SURVIVAL . SUKARELA . STRATEGI

74. Teras yang pertama : SOLIDARITI : untuk memperkasakan solidariti di kalangan kita, Pergerakan PUTERI menyokong penuh kepimpinan YB
Dato’ Seri Presiden dan institusi kePresidenan tanpa was-was dan ragu.

75. Institusi kePresidenan adalah tonggak yang perlu dipertahankan dan diperkukuhkan, lemahnya institusi ini akan lemahlah UMNO.

76. Kita yakin dan optimis dengan dedikasi YB Dato’ Seri Presiden, kita mampu merapatkan dan memperkukuhkan saf kepimpinan dan membina kesepaduan.

77. Pergerakan PUTERI, SEDERAP, SEIRING DAN SENADA DENGAN ROH PERJUANGAN yang dilaungkan YB Dato’ Seri Presiden, UMNO BANGKIT- KITA BANGKIT.

78. Teras yang kedua : SINERGI : Sinergi menuntut KITA SALING BEKERJASAMA DAN SALING MEMBANTU, UNTUK MENGHASILKAN IMPAK YANG MAKSIMUM terhadap usaha kerja kita. Dengan itu, wahai KekandaKU Pemuda, BondaKU Wanita, AyahandaKU Presiden dan kepimpinan tertinggi, kami perlukan sokongan, dokongan & bimbingan ANDA semua untuk membina KESALINGAN merangka, menyusun dan memperkukuhkan parti.

79. Teras yang ketiga : SURVIVAL : kita juga perlu menyemai dalam jiwa kita semangat untuk terus hidup dan berjuang, walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan tohmahan. Di saat sukar ini, Jiwa yang kental, jiwa survival akan menentukan kelangsungan perjuangan kita.

80. Biarlah apa orang luar nak kata. Pergerakan PUTERI akan tetap survived dan meneruskan perancangan dan program sedaya mungkin.

81. Kekentalan mengharungi keperitan ini, In shaa Allah akan mematangkan perjuangan politik kita.

82. Teras yang keempat: SUKARELA: Adalah amat perlu bagi kita menanam dalam jiwa kita semangat sukarela dalam usaha untuk memartabatkan parti kita. Sesungguhnya, kita datang ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini secara sukarela, bukan paksa rela.

83. Sampai masanya kita bergandingan secara SUKARELA sepenuh JIWA turun membantu bagi menjayakan apa sahaja program Pergerakan PUTERI tak kira di Cawangan, Bahagian, Negeri dan Nasional.

84. Teras yang kelima: STRATEGI : Dalam menghadapi percaturan politik baru hari ini, kita menyakini STRATEGI adalah elemen terpenting.

85. Kali ini, setiap pencaturan PUTERI UMNO bukan main terpa semberono, gerak kerja mestilah BERSTRATEGIK, dengan mengambil kira keperluan kumpulan sasar, perancangan jangka masa pendek dan panjang, implikasi setiap pilihan dan keputusan yang kita ambil.

86. Lima ‘S’ iaitu Solidariti, Sinergi, Survival, Sukarela, Strategi akan menjadi Anjakan Paradigma kepada PUTERI Bangkit yang akan menjayakan hala tuju Pergerakan PUTERI.

Pulau Pangkor nun di Utara,
Belikan saya nyiur dan lepat,
Kalau sayang pada negara,
Ayuh bersama kak Ida KITA bangkit.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

87. Sebagaimana yang Kak Ida tekankan tadi, Lima ‘S’ akan menjadi teras pemerkasaan dalaman PUTERI, manakala Hala Tuju difokuskan kepada
Tiga ‘P’ iaitu:

Pertama : PENGKADERAN
Kedua : PENGUASAAN MEDIA SOSIAL
Ketiga : PENYEMAIAN AKTIVISME SOSIAL

88. Pembangkang yang kuat dan digeruni bergantung kepada bagaimana kehebatan kita melakukan provokasi, eksploitasi politik dan menjadi juara dalam mengangkat isu-isu penderitaan rakyat, serta mengkritik apa sahaja dasar kerajaan dan pemerintah yang merugikan rakyat dan negara.

89. Pergerakan PUTERI mendokong 100% hasrat dan impian YB Dato Seri Presiden untuk melatih dan MENGKADERKAN seramai mungkin kader-kader parti yang berkaliber dan digeruni.

90. Pergerakan PUTERI merancang menubuhkan SEKOLAH PATRIOTISME WANITA MUDA bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai sistem politik negara, demokrasi dan peranan mereka dalam menentukan hala tuju masa hadapan negara. Modus operandi, silibus dan modul akan digubal oleh kumpulan Akademik, Strategis dan trainers yang telah dikenal pasti.

91. Populariti MEDIA SOSIAL ini tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Hebahan berita-berita sensasi menjadikan media sosial sebagai satu medium perantaraan yang sangat digemari dan berpengaruh.

92. Perang saraf sosial media dijangka akan berterusan dan teknologi-teknologi baharu yang muncul akan menentukan hala tuju dunia politik negara pada masa hadapan. Bagi menghadapi rempuhan media social, Pergerakan PUTERI merancang beberapa program dan aktiviti yang akan diumumkan dari masa ke semasa bagi meningkatkan Penguasaan Media Sosial kalangan ahli.

93. Sektor SUKARELAWAN kini sudahpun menjadi bahagian penting dalam aspek-aspek sosio, ekonomi dan politik kebanyakan negara maju.

94. Justeru itu, PUTERI akan lebih banyak menggunakan kaedah ‘engagement’ terhadap kumpulan sasar yang terpinggir dalam masyarakat atau oleh parti-parti politik.

95. Pergerakan Puteri akan menjadikan Penyemaian Aktivisme Sosial atau kesukarelawan sebagai Penjenamaan Pergerakan PUTERI UMNO. Kita akan memperteguhkan rangkaian dengan membina jaringan kerjasama strategik dengan NGO, Mahasiswa, Persatuan, Kelab dan badan sosial lain dalam melaksanakan program kesukarelawan tanpa melibatkan kewangan yang besar. Kita akan lebih banyak mendengar keluhan rakyat, daripada memberi ceramah kepada mereka. Kerana selama ini kita lebih banyak bercakap daripada mendengar. Ayuh bersama-sama kita menyantuni kepelbagaian dalam bingkai kemuafakatan demi #puteribangkit.

Takkan Melayu hilang di bumi
Semangat juang amatlah tinggi
Lima ‘S’ memperkasakan dalaman parti
Tiga ‘P’ menjadi hala tuju PUTERI

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

96. Untuk bergerak maju menghadapi senario politik hari ini, ingin saya TEGASKAN bahawa:

a) Pergerakan PUTERI akan memberikan kesetian, tetapi bukan secara membuta tuli. Era ‘Yes Sir‟ sudah berakhir. PUTERI mesti sama taraf dengan sayap lain bahkan akan lebih keras dan tegas di masa akan datang.

b) Pergerakan PUTERI akan mematuhi dan menyokong keputusan majoriti kepimpinan tertinggi, tetapi dengar-dengar jugalah pandangan kami.

c) Pergerakan PUTERI tidak akan teragak-agak untuk menegur dan mengingatkan kepimpinan tertinggi jika mereka tersasar daripada landasan perjuangan, waimma Presiden parti sekali pun.

d) Pergerakan PUTERI tidak lagi akan menjadi satu kumpulan yang eksklusif. Jangan jadi DIVA. Kita akan jadi sebahagian dari orang muda dan masyarakat.

e) Pergerakan PUTERI akan lebih terbuka menerima kepelbagaian latar belakang wanita muda yang ingin bersama.

97. Pergerakan Puteri ingin mencadangkan 2 perkara untuk diambil
PERHATIAN SERIUS oleh YB Dato’ Seri Presiden :

Pertama: Budaya ‘WAR LORD’ perlu ditangani segera kerana ianya mampu meruntuhkan kesepaduan parti.

Kedua: PEREMAJAAN PARTI perlu dipandang serius, berikan takrifan
Sebenar apakah yang dimaksudkan dengan peremajaan parti. Adakah Peremajaan bermaksud ramainya pemimpin muda yang mengetuai parti? Atau penggunaan teknologi terkini dalam urusan parti bermaksud peremajaan parti?

98. Pergerakan Puteri MENDESAK YB Dato’ Seri Presiden:

Pertama: Memberikan kuasa AUTONOMI KEPADA UMNO
SABAH, sesuai dengan perubahan lanskap politik hari ini.

Kedua: Mengambil TINDAKAN TEGAS DAN DRASTIK kepada mana-mana wakil rakyat UMNO yang melompat keluar parti, sama ada menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain.Termasuk memikirkan tindakan undang-undang.

99. Saya menyeru kepada rakan-rakan dan adik-adik semua. Teguhkan pendirian. Inilah satu-satunya parti yang ada untuk kita berpijak, supaya langit yang dijunjung akan terus melindungi bangsa dan agama kita.

100. Mari kita bersatu hati memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk mencari jalan terbaik demi kelangsungan ummah di negara yang bertuah ini.

Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,

101. Agenda perpaduan Melayu-Islam harus dilihat secara jujur dan harus diberi keutamaan. Sebagai kaum majoriti kita tak mudah dikalahkan, sekiranya kita bersatu. Melayu-Islam yang berpecah akan mudah diratah oleh sesiapa pun. Walau bagaimanapun kesejahteraan semua kaum tetap menjadi keprihatinan kita.

102. Tidak keterlaluan, untuk saya menyebut di sini, mereka yang menjadi peneraju kerajaan hari ini. Sebahagian besarnya adalah dari UMNO, yang membesar melalui sekolah UMNO dan membangun pengaruh dan kuasa mereka melalui UMNO. Kita akui mereka ada jasa pada UMNO, tetapi mereka mesti mengakui UMNO juga ada jasa kepada mereka.

103. Benar dalam pertarungan baru-baru ini, mereka telah mengalahkan kita. Tetapi, sekiranya ada secebis rasa ingin membunuh UMNO untuk terus luput di bumi bertuah ini, kami sebagai anak merayu agar mereka fikirlah semasak-masaknya.

104. Parti ini bukan sahaja besar jasanya untuk negara, untuk orang Melayu, untuk Islam, tetapi parti ini juga banyak berjasa kepada mereka yang berada ditampuk kekuasaan hari ini.

105. Ingatlah, sebenci mana pun mereka kepada beberapa individu UMNO, kenang-kenanglah, ingat-ingatlah dan insaf-insaflah bahawa dalam diri mereka, keluarga mereka, anak-anak mereka, bahkan rakan-rakan mereka yang diberi kesenangan mengalir darah yang dibangunkan hasil perjuangan orang-orang UMNO yang terdahulu.

106. Ini, termasuk keringat dan susah payah Pak Cik, Mak Cik orang UMNO yang dengan setulus ikhlas berada diceruk rantau negara yang telah memberi sokongan tak berbelah bagi kepada mereka ketika mereka berkuasa dahulu. Ingatlah, ketika mereka pernah diasak, dimaki dan dihamun oleh pembangkang yang menjadi sahabat mereka hari ini. Pakcik dan makcik inilah yang mengeluarkan keringat, airmata dan darah untuk mempertahankan mereka ditampuk kekuasaan dahulu.

107. Sebagai anak muda, kami mahukan kedamaian dalam sebuah keluarga besar orang Melayu.

108. Sejarah kita adalah dari satu rumah yang sama. Mungkin kini kita berada di rumah yang berbeza. Seindah mana pun rumah baru yang dibina, ingatlah rumah lama yang membesarkan kita bersama. Jangan sesekali, cuba di bakar rumah ini. Kerana rumah ini penuh dengan kenangan susah payah, pahit manis kita bersama.

109. Bagi kita yang berada di rumah ini, peliharalah rumah peninggalan nenek moyang kita dengan penuh keikhlasan. Sekiranya ada atap yang bocor mari kita gantikan dengan yang baru. Sekiranya ada tiang yang rosak mari kita baiki agar ia kembali kukuh. Mari kita hiasi taman di halaman rumah kita dengan bunga-bungaan indah kerana inilah rumah kita.

Para perwakilan yang disayangi,

110. Walau apapun berbagai dugaan yang melanda kita, jangan sekali-kali kita patah semangat. Jangan sekali-kali kita tinggalkan perjuangan. Kita harus bangkit dengan lebih bersemangat dan buktikan yang kita tetap setia dan akan terus istiqomah.

111. Kak Ida yakin dan percaya dengan anda semua di depan ini adalah pejuang sejati yang rela berkorban masa dan harta demi perjuangan tercinta.

WAHAI PUTERI-PUTERIKU

Bangkitlah – Bangkitlah – Bangkitlah
Walau Tewas jangan pasrah
Walau Rebah jangan undur
(Kita Bangkit)
Walau perit
Kita bukan pencacai,
Penagih kuasa dan pelombong harta
(Kita Bangkit)

Walau keseorangan Kita tidak akan Berpaling tadah, merangkak mencari sang penguasa baru (Kita Bangkit)
Walau badai melanda Kita Rapatkan saf ketatkan ikatan (Kita Bangkit)
Walau apapun halangan
Kita Genggam janji pejuang
Selagi jasad ini bernyawa
Selagi kudrat ini berdaya (Kita bangkit)
Walau dicemuh
Walau ditertawa
Usah gentar, gundah gelana
Rabbul Jalil pasti merestui
(Kita Bangkit)
Puteri Bangkit
Kita Bangkit
Umno Sebuah Perjuangan
Allahu Akbar

KEBANGKITAN
KEBANGKITAN
KEBANGKITAN
Selamat Bersidang. Wabillahi taufik walhidayah.