UMNO Putrajaya Terus Khidmat Bakti Tanpa Mengira Masa
PUTRAJAYA – Khidmat bakti UMNO Bahagian Putrajaya dilaksanakan tanpa mengira sempadan usia, masa dan tenaga apatah lagi untuk melihat kepada perbezaan politik kerana keutamaan adalah melaksanakan bantuan dan meringankan beban sesama individu dalam bermasyarakat.
Sehubungan itu, pelaksanaan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah menjadi kemestian bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO atau pengundi tetapi kepada para penduduk setempat.
Hal tersebut sentiasa dititikberatkan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ dalam menyemai idea untuk usaha meringankan beban mana-mana penduduk yang kesusahan.
Bukan sahaja yang sakit akan diambil berat, atau yang uzur akan diusahakan bantuan malahan mana-mana individu yang menerima kematian juga akan dibantu dari segi pengurusan jenazah dari awal hingga ke akhir.
Terbaru, Ahli Jawankuasa UMNO Bahagian Putrajaya Saudara Khairi Md Jani bersama Saudara Omar Abdul Hanif telah menghantar jenazah yang meninggal di sini ke kampung halamannya di Lenggong, Perak.
Ini adalah antara salah satu kebajikan yang sentiasa diangkat dalam kalangan warga Putrajaya dan dijadikan sebahagian rutin dalam mengekalkan hubungan silaturrahim dan mengutamakan kebajikan sesama umat.
Perkara tersebut bukanlah hal yang baru bagi penduduk setempat dan ia telah berlangsung dari masa ke masa sebagaimana keprihatinan ‘ketua kampung’ kepada orang ramai.
Semoga dengan pelbagai kebaikan yang sentiasa dilakukan akan Allah SWT kembalikan semula kebaikan kepada kita semua. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.