Cawangan UMNO Mula Bersidang 15 Feb, Mesyuarat Perwakilan Bahagian Pada 15 Jun
KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan bermula pada 15 Februari sehingga 30 April sementara di peringkat Bahagian pada 15 Jun hingga 30 Julai ini, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, pada kali ini persidangan tahunan Cawangan diberi tempoh selama dua bulan setengah bagi memberi peluang kepada Bahagian-bahagian UMNO yang mempunyai jumlah Cawangan yang banyak untuk menyempurnakan tanggungjawab tahunan tersebut.
“Selalunya sebulan setengah, pada kali ini kita bagi masa dua bulan setengah supaya Bahagian yang ada banyak Cawangan yang ada sampai seratus, dua ratus Cawangan tidak terhimpit dengan waktu yang pendek, dulu tu (mesyuarat) sampai 20 Cawangan hari Sabtu, 30 Cawangan pada hari Ahad.
“Alasan kita buat begini adalah kita mahu pastikan supaya kepimpinan Bahagian dapat seboleh mungkin untuk hadir dalam setiap mesyuarat Cawangan-cawangan untuk memberikan hala tuju dan semangat kepada ahli di peringkat akar umbi di Cawangan-cawangan dan dapat memberikan strategi-strategi yang akan kita susun atur, yang akan turun ke setiap Negeri dan Bahagian untuk kita melihat Cawangan-cawangan bergerak aktif dan dengan keadaan yang baik,” jelasnya lagi.
Mohamad berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT di sini, Rabu malam.
Turut hadir, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib-naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua-ketua Sayap Pergerakan.
Tambah Mohamad lagi, MT juga memutuskan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan pada 15 Jun hingga 30 Julai manakala bagi bulan Ogos hingga September diperuntukkan kepada semua Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mengadakan konvensyen masing-masing seperti mana yang dikehendaki di dalam Perlembagaan parti.
“Dan kita akan menentukan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2019 sama ada Oktober, November atau Disember, ini kita akan putuskan kemudian,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Mohamad turut berkata proses pemutihan ahli seluruh negara sedang berlaku dan akan berakhir pada 15 Januari ini.
“Banyak yang telah dilakukan oleh Cawangan dan Bahagian, memutihkan terutamanya mereka yang kita dapati tidak lagi bersama dengan kita.
“Jadi kita perlu mengeluarkan nama-nama ini daripada senarai nama ahli dan banyak juga ahli-ahli yang tidak dapat dikesan, ahli-ahli yang telah meninggal dunia dan kita akan keluarkan supaya keahlian UMNO yang ada ahli yang benar-benar wujud dan ahli yang aktif bergerak dalam parti”, katanya.
Perkara ini jelas beliau akan memudahkan pihak Cawangan dan Bahagian untuk mengurus kerana seperti mana yang telah disebutkan baru-baru ini, bahawa hasrat parti untuk memberikan banyak kuasa kepada Negeri dan juga Bahagian.
“Terutamanya dalam pemutihan ini dan juga tentang keahlian, keahlian (pendaftaran) sekarang boleh dibuat di peringkat Cawangan dan Bahagian secara ‘online’ dan ibu pejabat cuma mengurus susun atur tentang rekod dan kad keahlian,” ujarnya.
Mohamad turut mengatakan antara topik perbincangan Mesyuarat MT adalah berkaitan pemerkasaan parti, strategi-strategi untuk memulihkan parti dan juga gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, selain mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands. – MediaUMNO