Berita

Ayuh Teruskan Usaha Demi Agama, Bangsa dan Negara – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya akan terus mengorak langkah dan bangkit demi perjuangan agama, bangsa dan negara walaupun dalam keadaan sulit dan sukar.

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga tempatan agar tidak lemah semangat atau sekadar berserah walhal kebenaran perlu ditegakkan demi melawan kebatilan.

Katanya, banyak isu setempat yang kita boleh bangkitkan khususnya berkaitan penjawat awam di Putrajaya apatah lagi setelah tampuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan beralih tangan kepada Pakatan Harapan.

“Paling penting adalah mendekati rakyat dan pastikan kehidupan terbela tanpa mengira sama ada mereka pengundi BN atau sebaliknya sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya bersama Ketua-ketua Cawangan dan Ketua-ketua Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2019, malam tadi.

Dalam hal yang sama, beliau meminta pemimpin UMNO setempat untuk bergerak mantap dan memastikan rakyat merasai kewujudan UMNO iaitu sebagai satu-satunya parti politik yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Ayuh teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Hari ini kita diuji tanpa kuasa dan marilah kita teruskan berganding bahu untuk masa hadapan kita yang lebih baik dengan gerak kerja yang lebih mantap demi kesinambungan perjuangan – dulu, kini dan selamanya… Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya yang lebih akrab dengan panggilan ‘ketua kampung’. – UMNOPutrajaya