Pemuda Tekad Jadi Pembangkang Berwibawa

KUALA LUMPUR – Biarpun kedudukan UMNO hari ini bukan lagi sebagai kerajaan, namun ia tidak pernah melunturkan semangat Pergerakan Pemuda UMNO Putrajaya untuk meneruskan perjuangan.

Ketuanya, Dr Tengku Iqbal Munawir Tengku Adnan menegaskan bahawa Pemuda UMNO Putrajaya menanam tekad untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

“Kita jadi pembangkang mesti berwibawa, perjuangan kita juga bukan bersifat satu dimensi sahaja tetapi kita membangkang berlandaskan fakta, berhujah dan bercakap dengan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Pergerakan Sayap UMNO Bahagian Putrajaya yang berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam masa yang sama beliau meminta ahli-ahli UMNO khususnya anggota Pemuda untuk meningkatkan gerak kerja bagi memastikan sokongan terhadap UMNO dikalangan orang muda terus bertambah. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: