Berita

Selamat Hari Wilayah Persekutuan, Tolak Kebatilan Demi Kesejahteraan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga Wilayah Persekutuan khususnya Putrajaya untuk sama-sama meraikan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut setiap 1 Februari.

Katanya, sebagai penduduk Wilayah Persekutuan tentunya kedatangan tarikh tersebut amat bermakna kerana 1 Februari adalah pengiktirafan terhadap wilayah di dalamnya termasuklah Putrajaya.

“Inilah kampung kita maka sewajarnyalah untuk kita sama-sama raikan dengan penuh rasa kesyukuran dan tekad yang teguh bagi memastikan Wilayah Persekutuan terus sejahtera.

“Sebagai warga Wilayah Persekutuan, amanah terpikul di bahu kita untuk memelihara keharmonian dan kelestarian yang selama ini kita nikmati bersama,” kata beliau.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk menolak apa-apa sahaja perkara yang boleh merosakkan perpaduan yang selama ini menjadi kunci kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita bersatu padu, perteguh ikatan dan pererat silaturrahim dalam satu keluarga besar warga Putrajaya dengan menolak kebatilan dan menyerlahkan kebenaran, dari rakyat, kerana rakyat dan untuk rakyat,” katanya lagi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Putrajaya. – UMNOPutrajaya