‘Ketua Kampung’ Simpati Keperitan Beban Hidup Rakyat, PH Tak Tunai Janji
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih sinonim dengan pangguilan ‘ketua kampung’ bagi masyarakat setempat melahirkan rasa simpati dengan keperitan rakyat yang kebanyakannya mengeluh berkaitan kos hidup yang meningkat.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya telah meluangkan masa meninjau persekitaran Putrajaya di samping bertemu dengan orang ramai di sini.
“Saya melihat usaha-usaha yang telah dilakukan oleh saya sebelum ini di sini diteruskan dengan baik namun begitu saya amat bersimpati dengan keluhan para penduduk yang rata-rata merasakan terbeban dengan kenaikan pelbagai harga barang khususnya barang keperluan harian.
“Pastinya kehidupan rakyat terasa amat mencabar apabila berdepan suasana sedemikian apatah lagi di bawah pemerintahan kerajaan baru ini pelbagai bantuan kepada rakyat dihentikan dengan kerajaan hari ini pula dlihat membuat pelbagai alasan untuk memberhentikan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini
“Sebelum Pilihan Raya Umum lalu, kerajaan baru menjanjikan satu kehidupan yang lebih sejahtera kepada rakyat, namun apa yang jelas hari ini, rakyat lebih sengsara di bawah pemerintahan kerajaan baru ini,” katanya.
Jelas beliau, ketika di bawah pentadbiran BN sebelum ini, BN akan sentiasa memikirkan bagaimana dan apa bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat yang memerlukan bagi meringankan beban mereka, khususnya dari golongan B40.
“Kerana itulah saya bagi warga Putrajaya sebelum ini telah melaksanakan pelbagai program sebagaimana Program Jualan Sentuhan Rakyat yang dibuat secara berkala dan terancang dengan menjual barang keperluan harian iaitu setengah harga lebih murah dari harga pasaran bagi tujuan meringankan beban kehidupan rakyat.
“Namun malangnya apabila kerajaan baru ambil alih program tersebut tak dapat diteruskan malah disekat untuk berbuat demikian,” katanya.
Katanya lagi, kehidupan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barangan, harga minyak yang tidak turun-turun walaupun ada pemimpin PH yang berkata, apabila PH pegang pemerintahan, harga minyak akan turun RM1.50.
“Kegagalan pimpinan kerajaan hari ini dalam mengurus tadbir ekonomi dan negara telah menyebabkan kesannya kini ditanggung oleh rakyat yang bukan hanya di Putrajaya tetapi di seluruh negara, baik yang berada di luar bandar mahupun yang tinggal di dalam bandar.
“Jadi jelaslah, segala janji-janji yang dibuat oleh PH sebelum pilihan raya adalah janji palsu dan harapan yang diberikan kepada rakyat juga adalah harapan kosong semat-mata,” bidas beliau lagi.
Dilaporkan, sebelum ini kerajaan PH telah menarik balik kelulusan yang telah diberikan bagi program jualan barangan keperluan yang akhirnya terpaksa di batalkan kerana kelulusan ditarik balik oleh puak-puak yang berkuasa. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.