Persiapkan Jentera, PRU-15 Kita Depani Dengan Semangat Juang – Ketua Kampung
PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta semua anggota parti perteguh sokongan dalam keadaan politik semasa yang penuh dengan konflik dan kemelut berpanjangan.
Katanya, ibu pejabat UMNO telah mengeluarkan arahan untuk persiapan jentera Pilihan Raya di semua peringkat selari dengan keputusan parti yang telah memohon supaya Parlimen dibubarkan.
Maka katanya, adalah wajar bagi parti untuk membuat persiapan ke arah itu walaupun tidak tahu keputusan yang dibuat oleh Istana Negara kerana sebagai sebuah parti kesiapsiagaan Pilihanraya mesti berjalan secara berterusan.
“Kemelut politik semasa adalah akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawab parti-parti dalam Pakatan Harapan yang menyebabkan kerajaan mereka sangat rapuh dan runtuh. Kita mengambil pendekatan yang bertanggungjawab untuk memudahkan dan memurnikan proses terutama sekali di saat Istana Negara sedang mengambil tindakan-tindakan mengikut peraturan dan juga perlembagaan.
“Itu mestilah dihormati dan tidak harus ada sebarang spekulasi dan sebagainya yang mungkin boleh menganggu perjalanan dan juga proses yang sedang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong(YDPA).”
Katanya, UMNO Pusat telah mengeluarkan satu pekeliling dan arahan berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi(MKT) UMNO supaya jentera pilihan raya BN dan UMNO seluruh negara mula bergerak bersama-sama dengan PAS melalui Muafakat Nasional untuk membuat persiapan-persiapan yang berkaitan dengan pilihan raya.
“Dan kita akan mengikut garis-garis panduan tentang bagaimanakah makanisme kerjasama antara UMNO dan PAS disemua peringkat termasuk negeri, bahagian,DUN, cawangan dan PDM-PDM dan arahan-arahan spesifik yang telah dikeluarkan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan agar rakyat khususnya ahli-ahli UMNO agar jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai cerita yang tular berkaitan parti atau Muafakat Nasional sebaliknya rujuklah dahulu kepada pihak atasan agar tidak tertipu.
“UMNO dari pusat akan sentiasa berkongsi maklumat mengenai perkara-perkara semasa kerana adalah mustahak mereka diberikan gambaran yang tepat memandangkan terlalu banyak berita-berita yang separuh matang dan berita-berita yang sengaja disensasikan,” katanya lagi – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.