BeritaRencana

Ketua Kampung Raikan ‘Keluarga Besar’ PDM Taman Warisan

PUTRAJAYA – Kemelut politik negara yang masih berlarutan ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghalang warga Putrajaya untuk mengeratkan silaturrahim dalam konsep sebuah keluarga besar.

Ahli Parlimennya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama isteri Datin Seri Anggraini Sentiyaki telah bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Lahir Warga PDM Taman Warisan Parlimen Putrajaya.

Majlis yang berlangsung meriah ini telah dimulakan dengan bacaan doa sebelum disusuli ucapan oleh Datuk Seri Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ketua kampung.

Dalam ucapannya, beliau memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa khususnya dalam politik tempatan.

“Kita bersyukur kerana negara kita kekal stabil biarpun kerajaan PH telah tumbang. Inilah yang terjadi, tumbang ekoran daripada kesilapan mereka sendiri, kerana sikap angkuh, berebut kuasa dan saling tuding jari tanpa ada kerjasama,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau menzahirkan penghargaan kepada warga Putrajaya khususnya ahli UMNO yang kekal teguh menyokong perjuangan parti.

Beliau juga turut menyuap pulut kuning iaitu acara simbolik yang sememangnya menjadi acara rutin dalam sambutan ulang tahun beramai-ramai warga Putrajaya. – UMNOPutrajaya