Berita

Terima Kasih ‘Frontliner’ Putrajaya, Anda Wira Kami – Ketua Kampung

PUTRAJAYA – ‘Ketua Kampung’ iaitu Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan penghargaan kepada golongan petugas barisan hadapan yang menjadi wira dalam memastikan keselamatan rakyat ekoran penularan COVID-19.

Katanya, warga Putrajaya adalah satu keluaraga besar yang akan saling menyokong dan membantu bersama-sama.

“Saya bersama anda…. Kita bersama kerana kita satu keluarga, bersatu membantu dan saling menyokong. Terima kasih semua, terima kasih dan selamat bertugas semua wira negara, kakitangan barisan hadapan, petugas awam tidak kira dalam lapangan apapun, golongan sukarela dan semua individu yang terlibat dalam usaha menangani penularan COVID-19.  Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kita semua,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyumbangkan makanan kepada para petugas yang bekerja sepanjang tempoh Perintah Larangan Pergerakan iaitu anggota polis, bomba, petugas hospital dan klinik Putrajaya.

Sumbangan ini telah digerakkan bermula semalam dan akan berterusan sehingga berakhirnya Perintah Larangan Pergerakan pada 31 Mac ini. – UMNOPutrajaya