Berita

Ketua Kampung Hargai Keprihatinan Kerajaan, Harap Menyeluruh Untuk Warga Putrajaya

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya atau lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghargai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dalam berdepan wabak COVID-19 namun berharap ia akan lebih menyeluruh termasuklah melibatkan golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Saya menyahut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Sehubungan itu, beliau selaku Ahli Parlimen Putrajaya, turut berharap agar Menteri Wilayah Persekutuan turut prihatin terhadap golongan peniaga kecil.

“Saya amat berharap Menteri Wilayah Persekutuan dapat meringankan beban para peniaga kecil, pengendali ‘food truck’ dan penjaja yang beroperasi di sekitar Putrajaya dengan pengecualian daripada mereka untuk membayar sewa premis-premis di bawah Perbadanan Putrajaya selama beberapa bulan memandangkan mereka telah kehilangan punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Harapan saya juga golongan miskin bandar dalam Putrajaya juga dapat diberikan bantuan wang tunai terutama golongan B40, asnaf dan mereka yang bergaji harian yang sudah tentu menghadapi kesukaran sepanjang tempoh PKP ini,”  katanya lagi. – UMNOPutrajaya