PKP Dilanjut Sehingga 12 Mei
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu berkata bagaimanapun jika kes COVID-19 terus mencatat penurunan ketara, kerajaan mungkin memberi kelonggaran secara berperingkat-peringkat.
“Berdasarkan statistik terkini, jumlah pesakit sembuh telah meningkat kepada 3,542 kes iaitu 63.2 peratus keseluruhan pesakit telah sembuh.
“Sekiranya trend penurunan kes berterusan, kerajaan mungkin memberi sedikit kelonggaran,” kata Perdana Menteri pada perutusan yang disiar secara langsung melalui televisyen tempatan malam ini.
Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18 Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Muhyiddin berkata berikutan penurunan kes COVID-19 yang ketara, kerajaan akan memberi sedikit kelonggaran termasuk membenarkan penuntut di kampus universiti untuk pulang ke rumah masing-masing dalam sedikit masa lagi dan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk tujuan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan,” katanya.
Sebelum dibenarkan pulang, katanya, semua pelajar tersebut akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID-19.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga mempertimbang kebenaran satu kali perjalanan bagi mereka yang terperangkap di kampung atau tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP fasa satu.
Untuk itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik bagi mengatur pergerakan mereka termasuk pendaftaran secara dalam talian melalui aplikasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau membuat temu janji ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian-hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata butirian mengenai perkara tersebut akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, SEDIKIT kelonggaran. Bukan terlalu longgar. Pelaksanaan kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi COVID-19,” katanya.
Beliau berkata usaha-usaha untuk membendung wabak COVID-19 masih perlu diteruskan berdasarkan data-data yang dibentangkan kepadanya oleh Kementerian Kesihatan.
“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut Hari Raya di kampung.
“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika kes-kes COVID-19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.
Beliau berkata ini membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa dan menambah kata Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara tersebut. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.