Salam Ramadan: PKP Peluang Kita Pertingkat Ibadah, Perkukuh Keimanan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga Putrajaya untuk sama-sama mengimarahkan kedatangan Ramadan dengan meningkatkan ibadah dan memperkukuh keimanan.

Katanya, tentunya kedatangan Ramadan pada tahun ini amat berbeza lantaran suasana rakyat yang berperang dengan pandemik COVID-19 dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah.

“Marilah kita ambil langkah positif dengan melihat PKP ini sebagai satu peluang bagi kita untuk meningkatkan ibadah kita sepanjang Ramadan dan memperkukuh keimanan kita selain meluangkan sepenuhnya masa bersama keluarga,” katanya.

Jelas beliau, sesungguhnya cabaran yang sangat besar kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya hari ini adalah perjuangan memastikan kemenangan menentang penularan COVID-19.

“Kita mesti menang dan Ramadan ini adalah antara masa terbaik bagi kita semua memanfaatkan sebagai ruang perjuangan menentang wabak penyakit tersebut dan insyaAllah kita semua akan beroleh kejayaan,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, kerajaan telah mengumumkan PKP yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei depan. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: