Berita

Wanita UMNO Disaran Teruskan Tekad Santuni Rakyat, Dekati Pengundi Untuk PRU-15

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan agar Wanita UMNO bahagian terbabit teruskan tekad dalam menyantuni rakyat dan bekerja demi memastikan kesinambungan perjuangan parti untuk agama, bangsa dan negara.

Katanya, Wanita UMNO memainkan peranan penting dalam memastikan setiap anggota masyarakat didampingi dan akrab bersama parti.

“Wanita mempunyai naluri keibuan yang dapat menyelami permasalahan dan memahami resam ridup rakyat seharian,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian dalam perjumpaan santai bersama AJK dan Ketua Wanita Cawangan UMNO Putrajaya yang berlangsung di pejabat UMNO Bahagian terbabit, di sini malam tadi.

Dalam kesempatan ini, Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ketua Kampung’ turut menekankan peranan wanita dalam menggembling usaha ke arah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Wanita UMNO merupakan jentera paling hadapan untuk bergerak selain berganding bahu bersama Pemuda dan Puteri untuk memperkasakan Jalinan Rakyat (JR) dan mematikan Barisan Nasional (BN) kekal di Putrajaya,” katanya.

Dalam pertemuan yang membabitkan hampir 50 anggota kepimpinan Wanita UMNO tempatan, Tengku Adnan juga menzahirkan penghargaan kepada semangat golongan wanita dan berharap ia akan dimantapkan dari semasa ke semasa.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah isteri beliau, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Setiausaha UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Sokri Shafee dan juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman. – UMNOPutrajaya