Jumaat Hari Jawi: Sentimen Dan Biadab
PADA hari Jumaat 10 Julai 2020, tiba-tiba keluar berita:
“HARI Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Menteri Agama – ditambah) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata, usul ini dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.
“Kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi. Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi mulai hari ini.
Zulkifli berkata, penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.
Pada hari yang sama, DBP mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:
“Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan.
Katanya, keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi, diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun, sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.
Awang Sariyan berkata, dalam zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi), malahan dalam bidang diplomasi.
“Surat dan perjanjian antara kerajaan di Alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris, ditulis dengan Jawi. Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris. Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu, untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.”
Esoknya (Sabtu 11 Julai 2020) Ismaweb.net memuatkan tinjauannya di ruangan komen Facebook beberapa portal berbahasa Cina. Ia “mendapati, kebanyakan netizen Cina dengan biadab mengecam usaha Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selain mendakwa pelaksanaan itu disokong kuat anggota Kabinet MCA.
Di ruangan komen Facebook Malaysiakini versi Cina, beberapa netizen membantah dan memperlekehkan Hari Jawi sebagai usaha ke terbelakang.
“Adakah Jawi budaya Malaysia? Ahli politik yang berbalut kepala! Kita dah capai status negara maju,” tulis Kwee Fatt Chong.
“Tidak perlu memandu kereta lah! Naik unta dan berjalan kaki lebih baik,” tulis Lee Lih Yeong.
“Menteri Pengangkutan dalam Kabinet, Wee Ka Siong masih belum mengeluarkan kenyataan menyalahkan DAP?,” kata Yoon Kah Kian.
Sementara di ruangan komen Sin Chew Daily, pengguna bernama Qian Ying Long menggesa, kaum Cina untuk berhenti berpolitik dan bersatu menentang pelaksanaan itu.
“Adakah ahli politik sedang mengarabkan negara ini? Lupa dirinya Melayu? Sebagai orang Melayu sepatutnya meneruskan komunikasi dalam bahasa Melayu,” tulis Alan Chin Weng Lon.
“Kalau begitu pada hari Jumaat semua orang Melayu makan daging babi,” tulis A Fa.
“Saya menyokong dasar ini, pada hari tersebut saya akan mengadakan jamuan babi, sambil minum arak dan menulis Jawi, baguskan?,” kata Gan Zi Yi.
“Kami masyarakat Cina juga mengumumkan hari Jumaat adalah ‘Hari Makan Babi’,” tulis
Lai Gai Xiang dalam ruang komen Pocketimes.”
Pada hari yang sama (Sabtu 11 Julai 2020) Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mengeluar kenyataan bahawa beliau akan menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi. Selepas itu, tentulah lebih banyak komen dan pandangan yang akan dibuat oleh kedua pihak, yang menyokong dan menentang. Untuk tujuan rencana ini, cukuplah setakat ini.
Kita bincang pengumuman Menteri Agama dahulu. Soalan pertama, mengapa beliau yang membuat cadangan itu? Tulisan Jawi untuk kegunaan rasmi kerajaan bukanlah hal ehwal agama. Di mana letaknya isu agama mengenai penggunaan tulisan Jawi sebagai kepala surat rasmi? Di mana letaknya isu agama dalam surat-surat rasmi kerajaan, penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi, penggunaan tulisan Jawi dalam kenyataan-kenyataan rasmi di kawasan-kawasan awam dan nama jalan?
Kenyataan-kenyataan rasmi di kawasan-kawasan awam dan nama jalan terletak di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan, pembelajaran tulisan Jawi pula terletak di bawah Kementerian Pendidikan. Cadangan ini melibatkan pelaksanaan oleh semua kementerian dan jabatan. Tidakkah menteri-menteri berkenaan membangkit isu-isu yang melibatkan kementerian masing-masing?
Mengikut Menteri Agama, cadangan itu mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Jemaah Menteri. Soalan: Adakah isu mengenai persediaan untuk melaksanakannya dibincang?
Cadangan itu dikemukakan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada hari Rabu 08 Julai 2020, pengumuman dibuat pada hari Khamis 09 Julai 2020 dan pelaksanaan dimulakan pada hari Jumaat 10 Julai 2020. Pengumuman itu disiarkan oleh akhbar-akhbar pada hari Jumaat yang sama. Berapa orang penjawat awam daripada Ketua Setiausaha Negara ke bawah yang pergi ke pejabat pagi itu mengetahui mereka mempunyai satu tanggungjawab baharu dan apa persediaan mereka telah buat untuk melaksanakannya?
Kita ambil misalan yang paling mudah: tulisan Jawi hendaklah digunakan bagi surat menyurat rasmi kerajaan. Adakah komputer-komputer penjawat awam telah dibuat setting untuk membolehkannya digunakan bagi menaip tulisan Jawi? Tahukan penjawatpenjawat awam itu menaip Jawi? Tahukan penerimanya membacanya dan membalas surat-surat itu dengan menggunakan tulisan Jawi?
Itu hanya untuk menulis surat-surat rasmi. Bayangkan keterangan-keterangan saksi dan hujah-hujah peguam di semua mahkamah hendah dialih susun (transcribed) kepada tulisan Jawi untuk hakim-hakim menulis alasan penghakiman dalam tulisan Jawi yang akan dijadikan rekod rayuan untuk dibaca oleh hakim-hakim rayuan!
Bagaimana ia hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah? Adakah setiap hari Jumaat guruguru akan dikehendaki menulis nota dan soalan-soalan dengan tulisan Jawi dan pelajarpelajar menyalin dan menjawabnya dengan tulisan Jawi juga? Saya percaya, 99% guru dan pelajar tidak boleh melakukannya yang bererti mereka semua perlu belajar, diajar atau membiasakan diri dengan menulis dan membaca tulisan Jawi. Dengan sukatan pelajaran tertunggak selama lima bulan kerana wabak Covid-19, kita menambahkan lagi perkara yang perlu diajar. Adakan semua ini difikirkan? Banyak misalan lagi boleh diberi.
Yang jelas ialah pengumuman itu dibuat tanpa apa-apa persediaan. Seorang menteri yang berlatarbelakangkan akademik, pengetua pondok moden dan seorang mufti mungkin tidak dapat membayangkan semua itu sebagai akibat cadangan dan pengumuman yang dibuatnya. Bagaimana dengan pegawai-pegawainya? Adakah mereka juga tidak terfikir atau takut menasihatkan menteri?
Saya percaya, pada hari Jumaat pertama itu tidak ada apa-apa substantif yang berlaku. Yang berlaku hanyalah riuh rendah sokongan dan bantahan, kutuk mengutuk antara kumpulan-kumpulan berlawanan. Badingkan dengan apa yang dilakukan oleh menteri berketurunan Cina PH dan timbalan menteri berketurunan Cina PN: senyap-senyap mereka menggunakan bahasa Cina dalam urusan rasmi kerajaan.
Saya tidak hairan, seperti banyak perkara yang pernah berlaku, tidak lama selepas pengumuman dibuat dan riuh rendah sokongan dan bantahan, ia akan mati tidak berkubur.
Bahawa cadangan itu dibawa oleh Menteri Agama yang memilih pula hari Jumaat untuk dijadikan hari Jawi menunjukkan bahawa beliau yang berasal dari Terengganu, berlatar belakang agama, berfikir bahawa tulisan Jawi itu adalah hal ehwal agama. Itu telah memberi alasan kepada Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menuduh bahawa “pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir”.
Sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka memanglah boleh dijangka. Alasan bahawa tulisan Jawi digunakan beratus-ratus tahun oleh kesultanan Melayu dalam semua bidang termasuk undang-undang adalah alasan biasa yang diberi oleh ahli-ahli akademik. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.
Tetapi kita harus ingat bahawa pada masa itu tulisan Rumi belum tiba ke rantau ini. Mesin taip belum ada. Semua dokumen ditulis dengan tangan. Maka tulisan Jawilah satusatunya pilihan pada masa itu. Keadaan berubah dengan kedatangan tulisan Rumi, apatah lagi mesin taip yang menggunakan huruf Rumi yang lebih mudah dipelajari dan digunakan. Harga mesin taip huruf Rumi juga lebih murah daripada mesin taip huruf Jawi. Maka tulisan Rumi mempunyai kelebihan. Kedatangan komputer menguatkan lagi penggunaan tulisan Rumi.
Kita tidak perlu menangisi tulisan Jawi kerana tempatnya diambil alih oleh tulisan Rumi. Ia hanya satu jenis tulisan, satu alat yang, seperti semua alat, sesuai untuk tujuan tertentu pada suatu masa dan kurang sesuai pada suatu masa lain. Unta amat penting sebagai alat pengangkutan selama beribu tahun. Sekarang tidak lagi.
Kita pergi kepada komen-komen netizen-netizen Cina itu. Saya sengaja memperturunkan komen-komen mereka itu supaya pembaca dapat membaca sendiri apa yang dikatakan mereka dan membayangkan apakah jenis manusia mereka itu. Kita perhatikan, terutama sekali semenjak pemerintahan PH, demikianlah reaksi mereka terhadap sesuatu yang berkaitan atau yang mereka kaitkan dengan Melayu/Islam. Nampaknya itulah budaya mereka.
Janganlah kerana marah, kita juga terikut-ikut dengan budaya mereka. Apabila anjing menyalak kepada kita, kita tidak menyalak balik kepadanya. Sebab kita berbeza daripadanya. Kita gunakan hujah-hujah yang lebih baik untuk mengatasi mereka.
Saya sungguh tidak faham mengapa mereka benci sangat kepada tulisan Jawi. Ada yang menyamakannya dengan bahasa Arab, sedangkan ia hanya huruf. Saya masih ingat, dalam tahun 1950-an, jika kita pergi ke pekan-pekan di Semenanjung Malaysia, papanpapan tanda kedai yang menggunakan tulisan Jawi adalah pajak-pajak gadai kepunyaan orang Cina. Sebabnya ialah kerana pada masa itu kebanyakan orang Melayu dari kampung-kampung hanya boleh membaca tulisan Jawi. Tuan-tuan punya pajak gadai itu mengguna tulisan Jawi kerana mereka nampak ia menguntungkan mereka. Sekarang orang-orang Cina tidak nampak tulisan Jawi menguntungkan mereka, sebaliknya mereka takut ia akan merugikan mereka (kerana mereka mengaitkannya dengan agama Islam, Menteri Agama juga membuat kesilapan yang sama), maka mereka menentang.
Biar apa pun, peristiwa ini ada juga hikmahnya. Orang Melayu yang masih boleh berfikir akan dapat melihat hati perut orang Cina. Mereka inilah yang berada dalam DAP, MCA dan Gerakan. Masihkah orang Melayu hendak menyerah kawasan majoriti Melayu kepada mereka?
Apakah yang hendak dicapai dengan mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari Jawi itu?
Dua perkataan digunakan oleh Menteri Agama dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan iaitu untuk “memperkasa” dan “memartabatkan” tulisan Jawi.
Apakah yang dimaksudkan dengan “memperkasa” dan “memartabatkan tulisan Jawi? Adakah dengan menjdikannya kepala surat rasmi kementerian dan jabatan, dengan menggunanya bagi menulis papan tanda jalan raya yang hapir tidak dibaca; yang menyebabkan tulisan huruf Rumi terpaksa dikecilkan dan sukar dibaca oleh pemandu, di samping menambahkan kos, kita memperkasakan dan memartabadkan tulisan Jawi?
Sudah lebih daripada enam puluh tahun kita memilih tulisan Rumi untuk digunakan bagi urusan rasmi kerajaan. Itu kita lakukan setelah menimbang semua faktor, yang paling penting ialah kesesuaian dengan kegunaan pada masa ini. Kita telah dengan betulnya memilih tulisan Rumi untuk tujuan itu, tak usahlah mengadakan masalah, hanya kerana sentimen. Rakyat Malaysia menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga mengadakan masalah, membesarkannya dan berbalah mengenainya.
Tulisan Jawi boleh digunakan dalam pentadbiran. Tetapi, pilihlah di mana sesuai, tanpa menggantikan langsung tulisan Rumi, seperti di pejabat Raja-Raja, pejabat dan majlis agama Islam, pejabat mufti, muzium dan lain-lain.
Jika di Kelantan dan Terengganu, pada masa ini pun, masih banyak orang yang lebih mahir dengan tulisan Jawi, tidak ada salahnya kenyataan-kenyataan awam ditulis dalam tulisan Jawi di samping tulisan Rumi. Asasnya hendaklah keperluan, bukan sentimen.
Kiranya ada orang berfikir bahawa ini adalah pandangan seorang mantan hakim mahkamah sivil yang tidak tahu menulis dan membaca tulisan Jawi, biarlah saya maklumkan bahawa saya terdiri daripada generasi sebelum Merdeka yang bersekolah Melayu di mana tulisan Jawi lebih diutamakan. Sepanjang hidup saya, sehinggalah saya tidak boleh menulis lagi kerana tangan saya kebas akibat masalah urat saraf, saya menggunakan tulisan Jawi untuk mengambil nota peribadi saya sebab saya menulis Jawi lebih cepat daripada Rumi. Tetapi, saya menggunakan tulisan Rumi apabila mengambil nota keterangan semasa bersidang di mahkamah kerana itu urusan rasmi, ia lebih sesuai dan nota itu akan ditaip oleh jurutaip atau setiausaha saya, ada Melayu dan bukan Melayu, yang tidak boleh membaca nota saya jika diambil dalam tulisan Jawi.
Biar apa pun, semenjak orang Melayu memeluk agama Islam dan selagi mereka beragama Islam, mereka telah dan akan terus mempelajari tulisan Jawi untuk membaca Al-Quran dan melakukan amalan agama mereka. Generasi sebelum Merdeka yang tidak bersekolah dan dikategorikan sebagai buta huruf pun kenal huruf Jawi dan boleh membaca Al-Quran. Apatah lagi sekarang apabila tulisan Jawi diajar di sekolah kebangsaan semenjak sekolah rendah lagi. Ertinya, tulisan Jawi tidak akan hilang daripada masyarakat Melayu.
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
You must be logged in to post a comment.