Pertahan UMNO Untuk Terus Berkhidmat Kepada Rakyat
PUTRAJAYA – Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil sepenuhnya, Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta setiap anggota memain peranan proaktif dan bersiap sedia untuk menghadapi apa-apa juga cabaran termasuklah PRU ke-15.
Katanya, sebarang kemungkinan boleh sahaja berlaku dalam keadaan sekarang maka perlunya keteguhan untuk berdepan apa-apa juga keadaan.
“Ya, kita mesti sentiasa bersiap sedia dan pastikan UMNO/BN terus pertahankan Putrajaya,” katanya yang bercakap dalam program santai bersama Ketua-ketua Penerangan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya di rumahnya di Presint 10.
Dalam kesempatan ini, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ turut bersikap terbuka dan mengadakan komunikasi dua hala dengan khalayak yang ada.
“Saya telah memberi taklimat tentang isu-isu semasa dan kami saling bertukar pendapat, mendengar idea-idea dan pandangan dari mereka khususnya tentang suara dari akar umbi,” maklumnya.
Tegasnya, semua kemungkinan yang bakal berlaku perlu dihadapi dan semua peringkat kepimpinan hinggalah ke akar umbi juga mesti bersiap sedia.
“Saya akan terus laksanakan tanggungjawab saya sebagaimana yang sudah saya lakukan pada penggal yang terdahulu.
“Saya juga mohon kepada Allah untuk dapat terus lakukan kebaikan kepada warga (Putrajaya) dan rakyat,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.