Pemimpin Prihatin Bantu Sejahterakan Masyarakat Setempat

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua pemimpin masyarakat untuk menumpahkan sepenuh komitmen dalam melaksanakan keprihatinan terhadap permasalahan rakyat.

Katanya, pemimpin tempatan merupakan antara individu yang penting untuk menyatupadukan penduduk supaya sentiasa harmoni dan saling bekerjasama menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan tanpa mengira ras atau kaum dan etnik masing-masing.

“Saya telah meminta supaya semua ketua-ketua masyarakat tempatan untuk memainkan peranan bagi  membantu pihak berkuasa melaksanakan permintaan rakyat setempat.

“Tanggungjawab dan amanah terpikul di bahu bagi memastikan kesejahteraan sentiasa terpelihara dan sentiasa berusaha untuk merapatkan hubungan antara komuniti. Apa yang paling penting sikap prihatin dan sentiasa berusaha memelihara perpaduan yang ada,” katanya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ berkata demikian dalam Majlis Santai bersama MPP Sub Zone 3 Presint 8 & Presint 10, malam tadi.

Sebelum itu beliau telah merakamkan terima kasih kepada mereka yang hadir bagi menjayakan majlis terbabit.

“Sesungguhnya komitmen daripada semua pihak dalam menjayakan majlis seperti ini serta terus menerus menyokong usaha-usaha ke arah permuafakatan amatlah dihargai.”

Beliau turut menekankan tentang pentingnya meneruskan sifat prihatin dengan berkesan dan memenuhi kehendak masyarakat setempat.
 
“Sebarang keputusan dan tindakan yang diambil mestilah demi kebaikan rakyat,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: