Berita

PRK DUN Slim: UMNO Perak Jangka Pertandingan Satu Lawan Satu

SUNGKAI – UMNO Perak tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Bersatu Blackout iaitu kumpulan penyokong Tun Mahathir Mohamad.

Pengarah Operasi PRK itu Mohd Zaidi Aziz berkata, perkara itu berdasarkan situasi politik semasa dan PKR, Amanah dan DAP yang dikatakan tidak akan mengemukakan calon untuk bertanding dalam PRK berkenaan.

“Namun Bersatu Blackout telah dilihat melakukan pergerakan awal, dengan berkonvoi di sekitar kawasan berkenaan yang turut disertai bekas timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kira-kira dua hari lepas.

“Bagaimanapun tiada pergerakan luar biasa kelihatan…mereka datang beramai-ramai, namun saya dimaklumkan tiada sambutan.

“Mereka telah menggerakkan jentera, tetapi mungkin hanya masuk sahaja untuk melawat kawasan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Skuad Sayang3k PRK N.58 Slim di Felda Residence di Trolak di sini, yang dihadiri Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata, Bersatu Blackout akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan gerakan, berikutan tidak mempunyai ramai kekuatan di DUN Slim River, memandangkan kebanyakkannya menyokong Tan Sri Muhyidin Yassin.

Namun katanya BN tidak boleh berasa selesa dan mengambil mudah akan PRK tersebut, walaupun mempunyai kerjasama erat dan sokongan kuat daripada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Menurutnya, calon PRK DUN Slim dijangka akan diumumkan pada Rabu hadapan di Dewan Felda Jaya di sini, oleh pengarah PRK Datuk Saarani Mohamad.

Pada 24 Julai, media melaporkan bekas Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya sebagai berkata, kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir akan meletakkan calon pada PRK itu, selepas wakil Majlis Presiden PH menyatakan mereka tidak akan bertanding.

Sementara itu di Slim River, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Bersatu Blackout, untuk tidak bertanding pada PRK itu.

“Pandangan saya, mereka berhak letakkan calon tetapi ia tidak akan membawa apa-apa perubahan, hanya sekadar dapat menunjukkan kepada rakyat kita berbalah.

“Apa-apa pun jika ia menguntungkan silakan, jika tidak sebagai sahabat saya syor untuk tidak letakkan calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Ngaji di Hospital Slim River di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak mengingatkan ahli Bersatu untuk tidak bersama kumpulan tersebutb bagi mengelakkan keahlian mereka digugurkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, menyaksikan Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) sementara DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – BERNAMA