Berita

‘PDRM Keep Putrajaya Safe’ Pendekatan Pastikan Putrajaya Sentiasa Selamat

PUTRAJAYA – ‘PDRM Keep Putrajaya Safe’ menjadi slogan dan pendekatan digunakan Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali dalam usaha memastikan pusat pentadbiran negara dan kawasan tumpuan pelancong itu selamat.

Baru dua bulan memegang jawatan sebagai ketua polis daerah Putrajaya, langkah itu juga merupakan antara usahanya untuk mendekatkan diri dan anggotanya dengan masyarakat setempat supaya kehadiran polis sentiasa dirasai.

“Saya sendiri bersama anggota akan ke kawasan perumahan dan Rukun Tetangga supaya masyarakat setempat merasai kehadiran kami dan bukan sekadar melakukan rondaan sahaja.

“Kami berikan mereka maklumat keselamatan dan biar masyarakat serta pelancong merasai kehadiran polis,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, indeks jenayah di daerah itu rendah berbanding daerah lain dengan hanya merekodkan 246 kes pada tahun lepas dan 54 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Tambah beliau kebanyakan kes jenayah yang dilaporkan membabitkan penjenayah dari kawasan luar, bukannya penduduk setempat.

Bagaimanapun, katanya antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak berkuasa di kawasan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat setempat berkenaan keselamatan harta benda masing-masing dan tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada polis.

Sementara itu, Mohd Fadzil, yang berpengalaman lebih tujuh tahun bertugas dalam bidang logistik PDRM, berkata IPD Putrajaya perlu melakukan perubahan seiring dengan kepesatan pembangunan di Putrajaya.

Menurutnya, bangunan IPD Putrajaya sudah berusia 20 tahun dan tidak dapat menampung pertambahan anggota yang kini kira-kira 600 orang berbanding pada awal pembinaannya yang memuatkan 200 anggota.

“Kita memerlukan perkembangan selari dengan kemajuan yang ada dalam Putrajaya ini dan anggota juga turut berdepan dengan masalah rumah serta ruang pejabat terhad,” katanya.

Namun, beliau tidak melihat perkara tersebut sebagai penghalang kepada anggota pasukan keselamatan itu untuk menjalankan tugas dengan baik. – BERNAMA