Zahirkan Semangat Patriotik, Jom Kibarkan Jalur Gemilang

PUTRAJAYA – Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga tempatan untuk bersama-sama mengibarkan ‘Jalur Gemilang’,

Katanya, kibaran bendera negara ‘Jalur Gemilang’ ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat keseluruhannya.

“Bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan, saya berharap agar kita turut mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat dan gedung-gedung perniagaan serta di kenderaan kita. Inilah antara tanda rasa cinta kita kepada Malaysia yang akan meraikan kemerdekaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Dalam masa yang sama katanya, kibaran bendera negara ini juga adalah tanda kesyukuran kerana dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni.

“Alhamdulillah, kita dapat terus mengecap kesejahteraan dan marilah kita sama-sama menyemarakkan keharmonian dan sekali gus terus bertekad memelihara negara untuk masa hadapan yang lebih gemilang. Kibarkanlah bendera kita,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: