Program URP Suntik Semangat Puteri UMNO Putrajaya Teruskan Perjuangan
PUTRAJAYA – Pergerakan Puteri UMNO Putrajaya memperkukuh tekad untuk meneruskan perjuangan UMNO dalam mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, usaha berterusan dipergiat dengan gerak kerja terancang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
Ketuanya, Jumaitul Laily Zakiah Ismail melahirkan penghargaan dan berbesar hati dengan penglibatan anggota Puteri di Bahagian Putrajaya yang bersama-sama turun padang dalam Program URP anjuran Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Ahad lalu.
“Program ini menyuntik semangat kepada ahli Puteri khususnya dan semangat ini perlu diteruskan dalam memastikan PRU-15 akan datang agar dapat kita tawan semua Parlimen tumpuan,” katanya.
Ujarnya, sebagai golongan muda yang menjadi pelapis kepada teras kepimpinan parti, pemahaman dan penghayatan terhadap matlamat serta strategi bagi berdepan pilihan raya amat penting.
“Perjuangan ini perlu kita laksanakan dengan amanah, tanggungjawab dan berstrategi.
“Apa yang penting, marilah kita sama-sama perbetulkan niat, rapatkan saf dan eratkan hubungan silaturrahim antara kita kerana ini akan menjadi tanda kebersamaan dalam pengukuhan UMNO.”
Justeru, beliau menyeru golongan muda khususnya anggota Puteri untuk melangkah mara demi memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair.
Program URP yang disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani telah berlangsung dengan jayanya melibatkan anggota Puteri UMNO dari seluruh Wilayah Persekutuan. Program ini diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.