PRU-15: UMNO/BN Perlu Bersedia Tanding Sendiri

Pada saya, UMNO dan Barisan Nasional perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, termasuklah jika kita terpaksa pergi berjuang dalam pilihan raya umum ke-15 secara bersendirian dengan sepanduk dan lambang Barisan Nasional seperti berpuluh tahun sebelum ini.

Ini bukanlah kerana kita mahu pergi bersendirian, kita alu-alukan kerjasama dan muafakat dengan mana-mana pihak yang ikhlas dan adil, sepertimana yang telah kita buat sepanjang persahabatan yang termeterai dalam Muafakat Nasional dengan PAS sebelum ini.

Benar peluang kita untuk menang adalah lebih tinggi jika kita bersama berbanding jika kita bersendirian.

Namun jika ada mana-mana pihak yang mahu tinggalkan kita secara sukarela oleh apa jua sebab sekali pun, saya tidak rasa kita boleh memaksa mereka untuk setia bersama kita atau menghalang mereka dari meninggalkan kita, jika itu pilihan mereka.

Tiada paksaan dalam kerjasama politik sebagaimana juga tiada paksaan dalam Islam.

Dan jika mereka telah membuat keputusan, walau apa pun yang kita buat selain daripada perkara yang mendatangkan mudarat kepada kita sendiri, ianya besar kemungkinan tidak akan mengubah keputusan mereka tersebut kerana saya pasti pihak terbabit telah fikir masak-masak sebelum membuat keputusan itu.

Perjuangan kita perlu bermaruah. Sesuatu kemenangan tidak bermakna jika kita hilang maruah dan harga diri.

Kita berusaha, namun segala ketentuan, menang atau kalah, di tangan Allah SWT.

Istiqamah dalam perjuangan.

ISHAM JALIL
19 Ogos 2020

%d bloggers like this: