Berita

Putrajaya Perlu Suntikan Idea Baharu Untuk Kekal Dinamik – Annuar Musa

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Putrajaya memerlukan penyertaan pelabur swasta bagi membawa idea-idea baharu dalam pembangunannya untuk kekal dinamik serta menjadi destinasi pelancongan pilihan bagi tempoh 25 tahun akan datang, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

“Selain berfungsi sebagai pusat pentadbiran, Putrajaya juga perlu disuntik dengan kepelbagaian produk pelancongan agar kewujudannya lebih vibrant dan lively,” katanya.

Beliau ditemui wakil media selepas menyaksikan perarakan pasukan berkuda bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Jubli Perak Putrajaya di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata jemaah menteri juga telah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi perhatian pada promosi dan pembangunan pelancongan di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

“Kita amat menggalakkan kalau ada penyertaan pelabur swasta yang membawa acara-acara atau mengadakan pembangunan tertentu yang boleh menyokong sektor pelancongan bagi Putrajaya,” katanya.

Katanya walapun sudah terdapat produk pelancongan di Putrajaya, pembangunan seperti Quranic Village, bandar sukan serta perumahan awam boleh dimanfaatkan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelawat.

Dibangunkan di atas kawasan yang dinamakan Prang Besar di Selangor yang asalnya ladang kelapa sawit dan kawasan hutan, Putrajaya yang kini dipenuhi bangunan ikonik dan pelbagai kementerian dilancarkan pada 29 Ogos 1995 dan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada 1 Feb 2001.

Annuar turut berkata populasi penduduk di Putrajaya dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 orang dalam tempoh 25 tahun akan datang, berbanding sekitar 120,000 sekarang. – BERNAMA