Aktiviti & KomunitiBerita

Gerak Kerja Berterusan, UMNO Putrajaya Sentiasa Bersama Rakyat

PUTRAJAYA – Gerakan serampang dua mata, mengaplikasi pelbagai kaedah yang disesuaikan dengan keadaan penduduk tempatan adalah antara gerak kerja berterusan bagi UMNO Bahagian Putrajaya.

Ternyata, gerakan bersama rakyat bukanlah bermusim sebaliknya ia dilaksana dalam apa-apa juga keadaan termasuklah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang perlu dipatuhi oleh setiap individu lantaran penularan wabak COVID-19 yang masih berlanjutan.

Antara fokus gerak kerja terkini, Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah memastikan rakyat terbela khususnya dalam menghadapi pasca COVID-19 dan bersama-sama mereka mematuhi PKPP khususnya arahan wajib bagi pemakaian pelitup muka.

Lantaran itu, sumbangan barangan keperluan makanan di samping pelitup muka telah diagihkan kepada para penduduk dengan ahli-ahli UMNO Cawangan menjadi jentera penggerak yang akan bertemu dengan warga Putrajaya dari satu pintu ke pintu.

Dalam masa yang sama, hadiah hari jadi turut dihulur kepada penduduk setelah majlis ulang tahun kelahiran beramai-ramai yang menjadi acara kebiasaan warga Putrajaya tidak dapat dijalankan.

Semoga dengan usaha yang dilaksana akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam semangat keluarga besar warga Putrajaya. – UMNOPutrajaya