Sedia Berdepan PRU-15, Biro Penerangan Mantapkan Usaha BN/UMNO Demi Warga Putrajaya
PUTRAJAYA – Warga Penerangan UMNO Putrajaya digesa bersedia sepenuhnya dengan memastikan segala maklumat terkini dan isu-isu semasa ditangani agar Parlimen Putrajaya tetap kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, Ahli Parlimen tempatan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menzahirkan harapan agar jentera Penerangan menggembling usaha tanpa henti khususnya dalam menterjemah UMNO/BN sebagai satu-satunya pembela rakyat.
“Kita mesti sentiasa bersedia… PRU-15 bila-bila masa sahaja akan diadakan apatah lagi keadaan politik sekarang tidak menentu maka peranan kita di semua peringkat mesti terus digandakan dari semasa ke semasa hinggalah tiba masa sebenar nanti.
“UMNO/BN dah terbukti satu-satunya parti yang relevan sebagai pentadbir, menjadi kerajaan dan mendengar hati nurani rakyat keseluruhan malah 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sudah nyata tidak ada sebarang kebaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Biro Penerangan UMNO Putrajaya yang dibuat sebagai langkah bagi memastikan setiap anggota terus proaktif atas nama agama, bangsa dan negara.
Katanya, dalam keadaan untuk berdepan dengan PRU-15, ketua-ketua Penerangan cawangan dan sayap sayap parti perlu untuk mendekati rakyat khususnya pengundi di sini.
“UMNO/BN bukan baru hari ini bersama rakyat tapi kita perlu terus berdamping dengan mereka, mendengar dan menyelami permasalahan untuk dibawa kepada wakil rakyat agar setiap kesulitan dapat dipermudahkan dan apa-apa yang kurangvboleh ditambah baik.
“Ini ditambah lagi dengan situasi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, kita masih dalam PKPP maka ada macam-macam kerumitan yang rakyat alami. Di sinilah peranan kita sebagai jentera, selain memberi penerangan dengan fakta yang tepat kita juga mesti ikhlas dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau juga menekankan pentingnya jentera memanfaatkan ruang yang ada untuk bersama para pengundi.
“Kita mesti menang dalam PRU-15 maka keutamaan kita adalah pengundi yang mesti sentiasa kita perjuangkan.
“Ketua kampung kita laksanakan macam-macam aktiviti demi agenda memperkasakan warga Putrajaya atas perjuangan yang dibawa oleh UMNO. Ini perlu sentiasa ada agar kita kekal bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya lagi dalam mesyuarat yang berlangsung lancar di Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, malam tadi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.