KOTA KINABALU 08 JANUARY 2016. Dewan Undangan Negeri Sabah merupakan lokasi berlangsungnya Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara-Negara Komanwel (CSPOC) ke 23 di Kota Kinabalu. NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

Ubah Balik, Radu Tetap Radu

Bemula semalam hingga hari pengundian 26 September nanti, Sabah bakal mempersembahkan temasya demokrasi kedua terbesar negara bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Sarawak.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di bawah bayu yang mempunyai keluasan 73,631 kilometer persegi dan penduduk lebih tiga juta orang ini bakal mempertandingkan 73 kerusi DUN dengan jumlah pengundi berdaftar ialah 1,124,598 orang.

PRN ‘terpaksa’

PRN kali ini terpaksa diadakan kerana Ketua Menteri Sabah sekarang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Ada beberapa sebab mengapa Mohd Shafie hilang kepercayaan ADUN Sabah dan usaha penyingkirannya tidak mendapat bantahan besar penduduk Sabah.

Pertamanya, beliau menjadi Ketua Menteri melalui sokongan ‘terpaksa’ beberapa ADUN BN selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan Persekutuan.

Tidak ada sebab yang lebih munasabah untuk membolehkan Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri setelah partinya, Warisan, kalah dalam PRU-14 lalu kecuali ada gerakan menekan ADUN-ADUN tertentu.

Sokongan atas sebab ‘paksaan’ hanyalah sesuatu yang ‘artificial’. Pertukaran pentadbiran Persekutuan dari PH kepada Perikatan Nasional (PN) telah turut mengubah landskap politik negeri Sabah.

Kedua, beberapa polisi Mohd Shafie yang sangat tidak popular dalam kalangan sebahagian rakyat.

Sepanjang lebih kurang 26 bulan, penduduk Sabah terutama di bahagian pantai barat merasakan Mohd Shafie gagal membangunkan ekonomi negeri.

Sebelum tercetusnya pandemik Covid-19 lagi ekonomi Sabah telah berada dalam keadaan kusut pada tahap yang sangat rendah. Rakyat mula membuat perbandingan antara pentadbiran Musa Aman dan Barisan Nasional (BN) serta Mohd Shafie dan Warisan.

Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi (KPE) yang memberangsangkan di bawah Musa Aman. Pada 2016, Sabah mencatatkan KPE 4.7%, dan 8% pada 2017 – kadar tertinggi dalam kalangan negeri dan melebihi kadar nasional 5.9%.

Namun pada tahun 2018, KPE Sabah hanya 1.5%. KPE paling rendah antara semua negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding KPE nasional – 4.7%.

Selain itu, isu-isu pentadbiran seperti ‘sempornarisasi’, pendatang asing tanpa izin (PATI), dan Yayasan Sabah turut dilihat memainkan peranan dalam menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Mohd Shafie.

Sempornarisasi merupakan dakwaan bahawa jawatan-jawatan penting pentadbiran negeri Sabah, Yayasan Sabah dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sudah dikuasai oleh mereka yang berasal dari Semporna atau mempunyai kaitan dengan Mohd Shafie.

Walaupun dakwaan ini boleh dibahaskan, namun persepsi rakyat Sabah terutama di pantai barat sangat kuat melihatnya sebagai satu realiti.

Ubah balik

Sehingga rencana ini ditulis BN akan bertanding di 41 kerusi. Ini melebihi jumlah majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri. Sekutu mereka Bersatu dan PBS juga bertanding sekitar 18 dan 15 kerusi sekali gus menolak dakwaan BN tidak mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Sentimen Sabah for Sabahan yang ditiupkan dengan penuh semangat oleh Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS) tidak seharusnya menjadi kriteria pengundi Sabah.

Realitinya, Mohd Shafie sendiri naik sebagai Ketua Menteri menerusi ‘pertolongan’ Persekutuan. Anifah Aman (PCS) juga telah hampir sedekad dalam kerajaan Persekutuan melalui UMNO dan Barisan Nasional.

Malahan punca perubahan pucuk pimpinan negeri pada 2018 dan 2020 juga kerana majoriti ADUN di Sabah mahukan parti yang akrab dengan kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan masing-masing.

Justeru, BN Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berada dalam landasan yang baik untuk merampas kembali pentadbiran negeri.

Dengan laungan ‘kita ubah balik’ dan ‘radu tetap radu’, semangat dan kesungguhan untuk membuat perubahan sangat ketara bukan sahaja dalam kalangan pengundi tradisional BN, tetapi juga golongan atas pagar yang terkesan dengan kelembapan ekonomi negeri.

Namun sekiranya semangat tolak ansur di bawah tidak dapat diterapkan ada kemungkinan BN-PN akan kekal pembangkang di negeri ini.

Semuanya terletak kepada Bung Moktar dan pasukannya untuk meyakinkan pengundi Sabah mereka adalah pilihan lebih baik daripada Warisan dan PCS.

*Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)
Sumber: www.sinarharian.com.my

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: