Aktiviti & KomunitiBerita

Selamat Hari Malaysia, Pelihara Perpaduan Demi Kemajmukan Negara

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat khususnya seluruh warga Malaysia agar meraikan Hari Malaysia 16 Sept dengan penuh kesyukuran dan keazaman untuk meneruskan kelestarian negara.

Katanya, perpaduan dan kesejahteraan yang dikecapi hari ini bukanlah satu perkara mudah sebaliknya ia disemai setiap masa agar kesepaduan rakyat yang berbilang kaum dengan kelainan budaya dan agama dapat hidup bersama tanpa sebarang prasangka.

“Alhamudlillah, bersyukur kita dengan nikmat dan rahmat Allah S.W.T. kerana diberikan kekuatan dan keazaman untuk terus komited memastikan kesejahteraan negara dalam berdepan pelbagai dugaan,” katanya.

Jelas beliau, dalam keadaan masyarakat majmuk pelbagai kaum, cabaran tentunya bukan sedikit dari dalam dan dari luar namun sekiranya kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadi azimat negara dipelihara maka tentunya semua perkara dapat dilalui.

“Kita berdepan dengan situasi politik yang berubah-ubah, memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara dan kemudian ditambah lagi dengan penularan COVID-19 yang masih belum berkesudahan, tentunya itu semua akan dapat kita tangani
atas semangat bersama cintakan negara Malaysia ini.”

Lantaran itu, beliau menggesa agar setiap individu terus memainkan peranan, saling membantu dan saling bertolak ansur demi negara tercinta.

“Selamat Hari Malaysia,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya