Aktiviti & Komuniti

Hargai Frontliners, Terima Kasih Utamakan Kesejahteraan Putrajaya

PUTRAJAYA – Masa demi masa dan ruang yang ada tidak pernah berhenti namun setiap hari petugas barisan hadapan tak pernah berhenti biarpun pada satu-satu masa semua warga Malaysia diwajibkan berkurung di rumah.

Inilah tanggungjawab yang tergalas di bahu petugas barisan hadapan sebagaimana anggota keselamatan polis dan bomba serta petugas kesihatan di hospital.

Atas kesedaran itu dan bersempena ambang Hari Malaysia 2020, Belia Prihatin Putrajaya mengadakan program Terima Kasih petugas barisan hadapan di Putrajaya.

Program yang turut disertai Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah atas hasrat melahirkan penghargaan kepada mereka yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan orang lain.

Balai Bomba Putajaya menjadi tempat pertama program sebelum disusuli  Hospital Putrajaya.

Sedikit sumbangan turut diberikan selain menyampaikan sumbangan makan malam untuk mereka yang bertugas sementara Badan Amal Kasih Ibu WP yang dipengerusikan oleh Datin Seri Anggraini Sentiyaki turut menyumbang bantuan.

Program yang dilaksanakan bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya, MAWIP dan diterajui oleh Persatuan Belia Prihatin Putrajaya ini turut disertai Naib Ketua UMNO Putrajaya, Saudara Ahmad Faisal Abdul Karim; Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahman dan Naib Ketua Pemuda UMNO Putrajaya,  Saudara Mohd Zushaidey Zulkifli; Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Datuk Hisamudin dan Setiausaha Bahagian, Datuk Sokri bersama barisan AJK yang lain. – UMNOPutrajaya