Henti Drama Rebut Kuasa Elak Rakyat, Negara Cacamarba

Episod perebutan kuasa bertandang lagi. Ternyata ia terus mengungguli bab lain dalam naskhah politik semasa negara. Masih belum reda nampaknya perlumbaan dalam kalangan orang politik berkepentingan untuk terus menghambat bayang sendiri demi memenuhi hasrat dan keinginan didambakan.

Kuasa dan kedudukan terus menghantui diri. Itulah natijahnya. Bukan pelik, tetapi aneh. Belum pun reda kisah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, muncul pula babak lebih sensasi pada peringkat nasional.

Pengumuman terbuka dibuat dengan penuh yakin berhubung status sokongan diraih dan implikasi terhadap kedudukan kerajaan semasa dari segi kuasa memerintah dan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Tidak perlu dihuraikan apa kisahnya kerana ia bukan lagi rahsia. Jelas dan terang inti pati pengumuman dibuat itu.

Dalam bahasa mudah, kerajaan sedia ada akan rebah. Tukar lagi! Itu antara maklum balas marhain apabila pengumuman dibuat. Tidak dinafikan, marhain juga punya sokongan dan dukungan politik masing masing. Yang suka, sukalah.

Namun, bagi yang lebih memikirkan soal kemaslahatan dan kelangsungan negara yang berhadapan pelbagai cabaran lain, apa sedang berlaku sesungguhnya mengundang rasa rimas, resah, meluat, sakit hati serta hairan.

Gelagat dan telatah disajikan segelintir watak politik yang obses dengan kuasa dan kedudukan waktu ini sebenarnya boleh dikemudiankan. Itu pandangan kita yang mungkin dianggap bukan ahlinya. Bagi mereka, lain pula congaknya. Segalanya mungkin!

Di tengah-tengah kemelut COVID-19 masih berleluasa dan memerlukan tumpuan segenap lapisan, terutama pemerintah, rupa-rupanya dalam kalangan orang politik berkepentingan, semua itu tidak menjadi soal atau penghalang untuk terus berlumba mengejar kuasa.

Mereka tidak peduli apa pun harga perlu dibayar, mahupun kesan terpaksa dipikul rakyat dan jaminan kelangsungan serta kestabilan negara. Rasanya mana-mana individu berfikiran rasional dan terbuka akan mempersoalkan – apa yang mendesak sehingga perlu disegerakan perlumbaan meraih kuasa itu, jika dibanding wabak dan cabaran melanda dunia waktu ini?

Demokrasi dan semangat perjuangan apa sebenarnya dipertontonkan puak ini? Di mana demokrasinya jika sejak berakhir hak rakyat menentukan kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu terus tercalar angkara perebutan kuasa hingga terwujudnya kerajaan yang akhirnya ditentukan parti dan orang politik sendiri?

Sudah berbuih sejak kebelakangan ini dilontarkan pandangan dan pendapat berhubung penting akta lompat parti dan penilaian semula terhadap sistem dan kaedah pembentukan kerajaan dikaji.

Harapannya, bagi mengelakkan apa yang melanda politik waktu ini terus berulang. Namun, sambutannya dirasakan dingin. Hanya ahli politik boleh menjawabnya

Benar! Untuk menguruskan satu akta dan perundangan bukan semudah memetik jari, namun jika ia tidak dimulakan sekarang bila lagi?

Kita wajib melihat semua ini daripada hati sanubari yang tulus jika benar-benar inginkan sebuah negara yang bersih dan telus dari sudut politik serta pembentukan kerajaan seperti mana dilaungkan.

Mana yang lapuk dan usang sudah selayaknya diganti. Mana yang dianggap lazim pula seharusnya sudah boleh di norma baharu seiring perkembangan sejagat. Dunia sudah berubah. Gaya hidup juga berubah. Seharusnya norma baharu dalam landskap dan pendekatan politik diberikan nafas dan ditiupkan roh serta suntikan semangat baharu.

Pelik tetapi benar. Kita sentiasa dihidangkan berita dan laporan mengenai tawar-menawar dan janji lumayan serta habuan diberikan buat seseorang penyandang kerusi politik untuk melompat parti secara terbuka.

Malah, dalam kes tertentu seperti diikuti melalui saluran pelbagai media, kisah beli kerusi disebut secara terang terangan berserta jumlah wang ditawarkan.

Namun, kita masih boleh terus mendiamkan diri dan menerima itu semua sebagai lumrah dunia politik. Tidakkah itu berpotensi besar mengundang budaya rasuah secara terhormat?

Menariknya, orang politik juga gah menjuarai isu berkenaan supaya dibanteras setiap kali kempen dilaungkan, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya. Malah, mana-mana kerajaan memerintah atau bakal memerintah sekalipun sudah pasti menjadikan isu rasuah sub- jek utama dalam ikrarnya.

Jadi, apalah sangat susahnya mengusul dan menggubal akta lompat parti sebagai langkah asas membendung gejala rasuah, pada masa sama, mengelak berlaku runtuh-meruntuh kerajaan sesuka hati mengikut hawa nafsu dan tamak haloba terhadap kuasa dan kedudukan?

Jika tidak dibendung, ia amat tidak sihat bagi sebuah negara yang pada zahirnya kelihatan berusaha keras menjadi sebuah negara bersih dan telus dalam segenap aspek, lebih-lebih lagi dalam menentukan hala tuju serta amalan sistem politik bebas, telus dan adil.

Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia begitu rapuh dan tidak stabil sebuah kerajaan memerintah sehinggalah pergolakan dan krisis melanda negara mutakhir ini. Kerajaan dibentuk boleh dibina atau diruntuhkan hanya ditentukan wakil rakyat atau parti yang tidak berpendirian, yang boleh mengubah haluan dengan hanya menyatakan sokongan atau sebaliknya.

Tidak kira apa alasan, yang pasti golongan ini langsung tidak menghormati mandat asal diberikan rakyat kepada mereka. Ada kalanya marhain menyokong mereka jauh lebih kukuh tulang belakangnya, malah lebih telus dan tulus pendirian berbanding mereka atau parti yang diangkat dan disokong.

Tiadakah rasa hormat dan simpati dengan mereka ini? Jika begitu sikapnya golongan yang berebut kuasa, mungkin tidak keterlaluan diandaikan mereka ini sebenarnya tidak terlalu menghiraukan implikasi terhadap kelangsungan negara.

Kemerosotan saham, keyakinan pelabur, prestasi nilai mata wang, ekonomi dan bermacam ketidaktentuan lain angkara ketidakstabilan landskap politik negara, malah perjuangan melawan COVID-19 yang genting boleh dijadikan isu remeh dan diketepikan.

Lebih parah, pada saat diarah mengawal pergerakan dan bermacam sekatan lain dikenakan, semua itu se- olah-olah boleh dikompromi angkara melayan kemelut merebut kuasa ciptaan ahli politik sendiri dengan mengadakan pilihan raya negeri dan tidak mustahil juga peringkat Persekutuan.

Tidak tergambar kecewanya kumpulan barisan hadapan yang berhempas pulas memerah tenaga dan keringat serta emosi bergadai nyawa menentang pandemik, terpaksa menelan kepahitan berhadapan kemungkinan tercetusnya rantaian baharu angkara pilihan raya.

Bukan itu sahaja, bayangkan dalam situasi kewangan serba mencabar ini, sudah pasti perbelanjaan sepatutnya boleh diperuntukkan bagi menangani krisis semasa, terpaksa pula disalurkan untuk menguruskan pilihan raya.

Bukan sedikit jika itu terpaksa dilakukan. Berapa ramai pula sumber tenaga manusia dibabitkan? Fikirkanlah sendiri.
Apa pun, mengatasi semua permasalahan dan cabaran dibangkitkan itu, tidak kira di sebelah mana mereka ini bernaung, satu perkara yang perlu ditenung dan direnung bersama, sampai bilakah watak klasik utama dalam episod politik tanah air ini akan meneruskan dramanya dan mengheret rak- yat ke kancah politik tidak produktif serta kondusif buat negara?

Oleh Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman
Penulis adalah Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

%d bloggers like this: