Aktiviti & KomunitiBerita

COVID-19: Terus Patuhi SOP, Utamakan Tanggungjawab Kendiri – KuNan

PUTRAJAYA – Sebanyak 317 kes baharu COVID-19 termasuklah di Putrajaya yang melibatkan penularan dalam negara dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan ia jumlah kes harian tertinggi direkodkan Malaysia sejak wabak ini dilaporkan berlaku awal tahun ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa agar warga Putrajaya untuk terus meningkatkan disiplin dengan mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan agar penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal.

Katanya, dalam situasi terkini semua pihak memainkan peranan dan mempunyai tanggungjawab yang besar tanpa menuding jari sebaliknya sama-sama mengembling usaha untuk melakukan tanggungjawab kendiri demi memutuskan rangkaian penularan wabak ini.

“Berdasarkan rekod yang dicatatkan, hari ini Putrajaya juga mempunyai dua individu yang positif COVID-19 dan angka ini perlu dikekang dan disifarkan agar Putrajaya kembali menjadi kawasan bebas pandemik ini,” katanya.

Tegas beliau, semua pihak mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan telus dalam melaporkan sejarah perjalanan selain mengambil langkah yang telah digariskan oleh KKM agar tidak berlaku sebarang penularan lain.

“Soal kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan adalah tanggungjawab bersama dan ia mesti dipatuhi setiap masa berpandukan kepada langkah-langkah yang telah digariskan oleh KKM. Kita bukan sahaja memelihara keselamatan orang ramai tetapi juga menjamin keluarga kita sendiri terhindar dari sebarang ancaman khususnya wabak ini,” katanya lagi.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wujudnya kluster baharu di Putrajaya iaitu Kluster Selasih yang melibatkan kes ke-11,134 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Kes indeks ini berusia 37 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 27 September dan mula bergejala dan demam sejak 25 September lalu.

Terdahulu, dilaporkan dua kelas di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), dekat sini ditutup selama 14 hari bermula 1 Okt berikutan terdapat jangkitan COVID-19.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim yang memaklumkan bahawa dua kelas yang diarah tutup itu membabitkan masing-masing satu prasekolah dan darjah satu bermula 1 hingga 14 Oktober.

Sebelum itu tular di laman sosial seorang kakitangan sekolah berkenaan dan anaknya darjah satu disahkan positif COVID-19 dipercayai mendapat jangkitan daripada suaminya yang pulang dari Sabah. – UMNOPutrajaya