Rencana

Fikirlah: Mengapa Semakin Alpa Patuhi SOP COVID-19

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Bukan sahaja sekolah terpaksa ditutup, sekitar 600 murid Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Pulau Pinang juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta diarahkan kuarantin di rumah masing-masing sementara menunggu keputusan ujian berkenaan.

Aduhai malang sungguh nasib anak-anak kecil ini!

Menurut laporan media, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bertindak demikian apabila seorang guru di sekolah tersebut disahkan positif COVID-19.

Guru wanita itu adalah isteri seorang ahli politik di Kedah, dan dilaporkan tidak sihat ketika berada di sekolah. Beliau juga dilaporkan baru sahaja pulang dari Sabah kerana mengikut suaminya berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Mungkin ramai yang berang, memikirkan bukan sahaja nasib anak-anak serta kakitangan sekolah berkenaan tetapi juga bagaimana seorang guru tidak peka dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang sudah sekian lama diuar-uarkan kerajaan.

Bukankah sikap tersebut menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat, apatah lagi kepada murid sekolah berkenaan, khususnya?

Secara umumnya, kalangan pemimpin masyarakat termasuk ahli politik dan dalam hal ini guru, seharusnya menjadi ‘barisan hadapan’ untuk mematuhi segala jenis peraturan dan SOP ini, supaya boleh diteladani orang lain.

Bak kata pepatah, pemimpin perlulah menjadi “bayang-bayang sepanjang tubuh, selimut sepanjang jalan”, bermaksud mereka perlu bijaksana dalam memberikan perintah, selain turut juga mematuhi dan memahami apa yang diperintahkannya supaya boleh dijadikan panduan orang-orang di bawahnya.

Seharusnya juga mereka yang baru pulang dari kawasan berisiko tinggi COVID-19 perlu segera melakukan ujian saringan serta patuh menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sehinggalah disahkan negatif jangkitan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sudah terang lagi bersuluh! Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya pada 26 Sept menegaskan, individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA), selain wajib menjalani HSO, dengan semua individu di PMA akan diberi surat HSO serta dipakaikan gelang kuarantin.

Perlu diingatkan, adalah tersangat berat kesalahan dan kesan yang akan ditimbulkan apabila seseorang sengaja melanggar arahan kuarantin atau HSO 14 hari selepas balik atau singgah ke kawasan berisiko tinggi COVID-19.

Biarpun pahit untuk ditelan, namun kebenarannya adalah dari sehari ke sehari, masyarakat kita sudah semakin alpa terhadap pematuhan setiap SOP termasuk memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.

Ada dalam kalangan kita yang sudah lupa atau ‘buat-buat lupa’ memakai pelitup muka, dengan alasan leceh untuk membawanya dan berasa sesak nafas ketika memakainya. Persoalannya apakah logik alasan ini diguna pakai saat wabak COVID-19 masih menular dalam komuniti kita?

Perlu diingatkan, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan ini.

Itu belum lagi kita sentuh isu segelintir masyarakat yang tanpa segan silu menghisap rokok di tempat awam antaranya di dalam kedai makan dan di kaki-kaki jalan. Malahan ada yang dengan sengaja menghembuskan ‘asap-asap kematian’ itu yang akhirnya disedut insan tidak berdosa di sekeliling mereka.

Penulis ada terbaca sebuah artikel ‘Benarkah Rokok Membawa Virus Corona? Ini Kata Dokter’ disiarkan sebuah portal berita Indonesia, Tempo Co pada 18 April lepas. Doktor Pakar Paru-Paru di Indonesia, Dr Erlina Burhan menjelaskan virus corona atau COVID-19 boleh berada dalam droplets yang terkandung dalam asap rokok dihembus perokok.

“Risiko tertular masih boleh terjadi. Saat perokok menghembuskan asap, barangkali ada droplets yang keluar,” katanya.

Lalu teringat kepada seorang pelanggan kedai makan, Hamdan (bukan nama sebenar), yang selamba merokok di dalam premis berkenaan kerana melihat ramai pelanggan lain yang juga merokok dan tiada sesiapa yang menegur kesalahan itu. Mungkin normal bagi mereka. Sungguh mengecewakan!

Tinjauan penulis di beberapa tempat tumpuan awam seperti pasar raya di Kampung Baru juga mendapati ada segelintir yang dikesan ‘menipu’ ketika mengimbas suhu dengan cara mengimbas tangan atau bahagian lain selain dahi mereka sebelum memasuki premis.

Malah, lebuh teruk lagi, ada yang ‘berlakon’ seolah-olah sedang mengimbas kod menggunakan aplikasi MySejahtera walhal mereka tidak melakukannya!

Seorang pembantu kedai runcit, Muhammad Azwan, 27, berkata tindakan sedemikian sebenarnya akan menyusahkan staf kesihatan KKM apabila tiba waktunya untuk mencari semua pelanggan yang pernah memasuki sesuatu premis yang disyaki dikunjungi pesakit positif COVID-19 sebelum itu.

Sangat jelas dalam peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan sektor peruncitan, perlulah dipastikan semua staf, pembekal dan pelanggan untuk membuat proses rekod kehadiran secara manual atau aplikasi MySejahtera, serta saringan suhu badan juga perlu dibuat.

Cuba kita fikirkan, kerana sikap segelintir yang tidak bertangggungjawab mematuhi SOP, ianya boleh memberi ‘Kesan Domino’ terhadap peningkatan tinggi kes penularan tempatan.

Perkembangan mutakhir kes baharu COVID-19 Malaysia yang kembali tiga angka sudah tentunya memberi impak kepada rekod pengendalian wabak ini. Persis kata pepatah “kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga”.

Tidak dinafikan, ia juga seolah-olah tidak menghargai pengorbanan staf KKM serta petugas yang terlibat dalam mengendalikan wabak ini, yang tanpa lelah menasihati masyarakat setiap hari agar mematuhi setiap SOP ditetapkan. Malahan, mereka sendiri berkorban jiwa raga demi merawat pesakit-pesakit yang disahkan positif COVID-19 serta memerlukan penjagaan rapi.

Tidakkah kita berasa belas kasihan terhadap petugas barisan hadapan negara ini yang sudah lama tidak dapat bersua ahli keluarga sendiri kerana tidak ingin membahayakan nyawa insan yang mereka cintai disebabkan mereka sentiasa terdedah jangkitan COVID-19 saat merawat pesakit?

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy mengingatkan, jangan kita terus leka bahayanya COVID-19 yang masih bersembunyi dalam komuniti, walaupun pada asalnya kita sudahpun hampir menang perang menentang musuh tak terlihat dek mata ini.

“Biarpun negara kita diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang berjaya mengawal pandemik ini, namun kita tak boleh seronok, ini rakyat kena faham, virus ini masih ada dalam komuniti, dan ia bukannya tugas mudah untuk diatasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sikap rakyat yang semakin alpa terhadap pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kes yang lebih teruk.

Oleh itu, suka atau tidak, nasib negara Malaysia yang kini dikatakan berada di permulaan gelombang ketiga COVID-19 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan akan ditentukan oleh sikap dan tahap pematuhan SOP yang tinggi oleh setiap daripada kita.

“Menang atau kalah bergantung pada kita. Gelombang (COVID-19) ini bukan bermusim, ia sentiasa berterusan.” Itulah wejangan ‘Jeneral’ perang COVID-19 negara kita, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media 2 Okt lepas. Pada hari itu, Malaysia mencatat 287 kes baharu positif COVID-19!

Semoga semua sedar, perjalanan kita untuk menang perang menentang COVID-19 masih jauh dan berliku-liku! – BERNAMA

Oleh Muhammad Basir bin Roslan
Disunting oleh Melati Mohd Ariff