PKPB Di Seluruh Sabah Bermula Tengah Malam Ini Hingga 26 Okt
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Okt ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku di negeri itu.
“Dengan pelaksanaan PKPB ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.
“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.
Dalam tempoh itu, Ismail Sabri berkata hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian termasuk makanan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi hendaklah ditutup.
Malah masjid, surau serta rumah ibadat bukan Islam lain juga ditutup kepada orang ramai, selain semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan.
“Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bagi pasar borong, pasar harian hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, kedai barang keperluan, kedai runcit, restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka (6 pagi – 6 petang) dan terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away,” katanya.
Stesen minyak juga dibenarkan beroperasi pada waktu terhad dari 6 pagi hingga 6 petang.
Menurut Ismail Sabri, klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, bagaimanapun operasi farmasi dan kedai ubat-ubatan terhad dari 6 pagi hingga 6 petang. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.