Berita

UMNO Timbang Tarik Diri Sokong PN, Beri Syarat Kerjasama Politik

KUALA LUMPUR, 13 Okt – UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di sini malam ini.

Beliau berkata keputusan dan syarat baharu itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

“Semua pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Majlis Tertinggi (MT) termasuk mereka yang sedang menjalani kuarantin bersetuju dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di lobi Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mesyuarat dua sesi selama hampir lima jam itu dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta semua ketua sayap parti.

Ahmad Maslan berkata mesyuarat juga mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar MN didaftarkan segera sebagai gabungan politik yang sah.

Jelasnya, UMNO berpandangan kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan.

Ditanya adakah UMNO akan menarik diri serta merta daripada PN sekiranya gabungan itu enggan bersetuju dengan syarat baharu, Ahmad Maslan berkata perbincangan lanjut akan dibuat berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat berdasarkan situasi politik negara selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan memaklumkan tarikh mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri berlangsung serentak pada 6 hingga 8 Nov depan.

Perasmian Perhimpunan UMNO Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan serentak pada 17 Disember dan persidangan ketiga-tiga sayap parti itu diadakan pada hari berikutnya.

Sementara perasmian Perhimpunan Agung UMNO pula pada 18 Disember (malam) dan persidangannya pada hari berikutnya. – BERNAMA